KUALA LUMPUR – Kedudukan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam landskap politik PKR dilihat semakin kukuh berbanding Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, Tengku Zafrul bukan sahaja mengintai kerusi Ampang sahaja, bahkan kini diberi kepercayaan untuk menjaga Parlimen Pandan.
“Tengku Zafrul kini berada dalam kelompok paling dipercayai oleh Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga digelar sebagai “Blue-Eyed Boy PMX”.
“Kini spekulasi bertiup kencang kerana Tengku Zafrul berpotensi menjadi calon untuk mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli di kerusi Pandan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Dalam masa sama, kata Gulam, kedudukan Nurul Izzah pula terus menjadi tanda tanya apabila sehingga kini masih belum ada kepastian mengenai kawasan yang bakal ditandinginya.
“Beberapa lokasi dikatakan sedang dipertimbangkan termasuk Bandar Tun Razak, Batu, Permatang Pauh dan juga Tambun, namun belum ada sebarang pengesahan rasmi dibuat,” katanya.
Menurut Gulam, sebelum ini Nurul Izzah sering disebut-sebut sebagai antara figura utama masa depan Pakatan Harapan (PH), malah pernah dilihat sebagai calon Perdana Menteri.
“Perubahan struktur dalaman PKR baru-baru ini turut mengundang perhatian apabila jawatan Pengarah Pilihan Raya parti diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan dibantu Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh.
“Perkembangan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula jentera parti menjelang PRU akan datang,” katanya.
Dalam nada sinis, terdapat juga pihak yang mempersoalkan tahap penglibatan aktif Nurul Izzah dalam pentas politik semasa sehingga mengaitkannya dengan istilah “work from home”, merujuk kepada ketidakhadiran beliau dalam beberapa perkembangan politik mutakhir.
“Bagaimanapun, tumpuan kini lebih terarah kepada persaingan pengaruh dalam PKR yang dilihat semakin menarik, khususnya melibatkan kelompok pemimpin yang dipercayai rapat dengan Perdana Menteri.
“Percaturan calon dan pembahagian kerusi PKR menjelang pilihan raya akan menjadi penentu penting terhadap hala tuju parti serta keseimbangan kuasa dalam Pakatan Harapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















