etua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal

KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dan berdaya tahan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 dengan merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT)
sebanyak RM158.2 juta.

Ia PBZT suku pertama tertinggi dalam sejarah kumpulannya.

Pencapaian tersebut mewakili peningkatan sebanyak 5% berbanding RM151.1 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan selepas zakat dan cukai meningkat 6% kepada RM100.0 juta daripada RM94.6 juta sebelumnya mencerminkan pelaksanaan berdisiplin Kumpulan, asas pendapatan yang pelbagai, pengurusan risiko yang berhemah serta daya tahan operasi yang berterusan dalam menghadapi persekitaran operasi yang semakin kompetitif dan sentiasa berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi rekod suku pertama mencerminkan kekuatan asas Takaful Malaysia, daya tahan model perniagaan
kami yang pelbagai serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama kami.

“Walaupun berdepan landskap operasi yang lebih mencabar, kami kekal fokus terhadap pelaksanaan yang berdisiplin, ketangkasan operasi, dan penyampaian nilai mampan merentasi semua segmen perniagaan teras kami,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Nor Azman, pertumbuhan keuntungan yang berterusan membuktikan keberkesanan strategi jangka panjang kami yang disokong oleh amalan pengunderaitan yang berhemat,
pengurusan pelaburan yang kukuh, penyelesaian berteraskan pelanggan, serta inisiatif transformasi digital yang berterusan.

“Kami kekal komited untuk terus memperkukuh kedudukan
pasaran sambil mencipta nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Segmen Takaful Keluarga mencatatkan hasil takaful sebanyak RM568.2 juta bagi S1 TK2026 disokong oleh struktur caj perlindungan yang lebih mampu milik dan kompetitif bagi meningkatkan akses pasaran serta capaian pelanggan.

Sementara itu, segmen Takaful Am terus mengekalkan momentum kukuh dengan hasil takaful meningkat 14.2% kepada RM392.2 juta berbanding RM343.5 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen Takaful Motor dan Kebakaran, mencerminkan permintaan yang mampan serta kedudukan pasaran Kumpulan yang kukuh.

Kumpulan turut merekodkan prestasi pelaburan yang lebih baik sepanjang suku tersebut.

Pendapatan pelaburan bersih bagi segmen Takaful Am meningkat kepada RM18.8 juta daripada RM17.3 juta dalam suku yang sama tahun lalu didorong oleh keuntungan lebih tinggi daripada
pelaburan sukuk dan keuntungan direalisasi daripada pelupusan aset pelaburan.

Selain itu, pendapatan pelaburan dalam segmen Takaful Keluarga meningkat sebanyak RM67.8 juta tahun ke tahun terutamanya disumbangkan oleh kerugian nilai saksama yang lebih rendah
ke atas sekuriti ekuiti, mencerminkan keadaan pasaran yang lebih baik serta pengurusan portfolio yang berhemat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast