Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi menunaikan solat jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan yang terus menimpa umat Islam khususnya di Gaza, selatan Lubnan dan beberapa wilayah lain akibat serangan berterusan rejim zionis Israel.

Beliau berkata, suasana sambutan Aidilfitri tahun ini turut dipalit kesedihan apabila umat Islam di rantau itu terus bergolak dan berdepan dengan kezaliman, kemusnahan serta kehilangan nyawa yang berpanjangan.

“Masyarakat antarabangsa khususnya kuasa besar Barat dilihat gagal mempertahankan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan sejagat apabila tidak mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman yang berlaku di Palestin dan Lubnan.

“Bila orang Palestin dizalimi, apabila Gaza dihancurkan dan selatan Lubnan diserang, dunia seolah-olah tidak lagi mempunyai maruah dan prinsip yang dipertahankan.

“Inilah yang saya maksudkan sebagai kemunafikan demokrasi dunia Barat. Mereka bercakap soal hak asasi dan keadilan, tetapi membiarkan kezaliman berlaku secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2026.

Anwar bagaimanapun menegaskan pendirian Malaysia bukan bersifat ekstrem atau kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama sebaliknya berlandaskan prinsip kemanusiaan sejagat dan penolakan terhadap segala bentuk penindasan.

“Kemarahan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia terhadap Israel berpunca daripada tindakan zalim yang terus berulang tanpa sebarang penyelesaian tuntas,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin negara Islam termasuk Presiden Iran, Presiden Pakistan, Presiden Turkiye serta Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.

“Ia bagi membincangkan usaha memperkukuh perpaduan dunia Islam dalam menghentikan keganasan dan konflik yang berlarutan di Asia Barat,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia akan terus mempertahankan prinsip kebebasan, keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

“Suara Malaysia akan terus tegas dan lantang kerana sehingga kini masih belum ada tanda penyelesaian terhadap serangan bertalu-talu ke atas Gaza, Palestin dan selatan Lubnan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2026.

Beliau turut mengingatkan konflik berpanjangan di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan serantau malah turut mempengaruhi kestabilan ekonomi dunia termasuk negara-negara di Asia Tenggara.

“Walaupun Malaysia masih berada dalam keadaan aman dan memiliki asas ekonomi yang baik, ketidaktentuan geopolitik global sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menyeru masyarakat dan pimpinan politik agar terus mengekalkan pendekatan sederhana, tenang dan rasional dalam berpolitik selain memberi keutamaan kepada usaha membela nasib rakyat.

“Politik tidak boleh dibawa dengan sentimen melampau. Kita mesti kekal waras dan mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya mengulangi budaya kebencian serta kegilaan politik seperti yang berlaku di beberapa negara Barat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast