KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini berada pada kedudukan yang sangat kukuh, selain terkenal atas tadbir urus, integriti dan mutu perkhidmatannya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Shahril yang dilantik sebagai Pengarah Urusan baharu Khazanah Nasional Bhd, akan terus mengetuai dana persaraan itu sehingga melapor diri dengan dana kekayaan negara pada 20 Ogos, 2018.
“Saya gembira meninggalkan KWSP dalam kedudukannya yang baik. Ia merupakan organisasi yang hebat. Pengerusi, Tan Sri Samsudin Osman, serta pasukan pengurusan akan meneruskan tugas ini.
“Lima tahun dari sekarang, KWSP akan menjadi lebih baik daripada keadaan yang saya tinggalkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSC) 2018: Esok Yang Lebih Baik, di sini hari ini.
ISSC 2018 yang berlangsung selama dua hari mulai hariini, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bakal CEO KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, KWSP sentiasa mempunyai pelan pelaksanaan lima tahun yang dinamik.
“Suka saya menyatakan bahawa sebagai orang yang sudah menjalankan strategi sejak 25 tahun yang lepas, inilah yang terbaik yang pernah saya lihat.
“Ia tidak dibangunkan secara bersendirian. Strategi kami dan cara kehadapan dibangunkan sebagai satu pasukan. Pemandunya mungkin berbeza, namun destinasinya masih sama,” katanya.
Sementara itu, Samsuddin berkata KWSP belum mendapat sebarang petunjuk atau komunikasi rasmi mengenai cadangan penggabungannya dengan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).
“Jujurnya kami perlu mengetahuinya selain yang kami baca di media.
“Setakat yang melibatkan kami, belum ada komunikasi rasmi. Kami belum dapat sebarang petunjuk daripada bos kami,” katanya.
Kedua-dua entiti (KWSP dan Perkeso) ditadbir oleh dua kementerian berlainan – KWSP di bawah skop Kementerian Kewangan manakala Perkeso di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia.
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran sebelum ini berkata kementerian itu sedang menyediakan kertas Kabinet mengenai sama ada KWSP dan Perkeso, yang masing-masing memiliki dana RM800 bilion dan RM26 bilion setakat tahun lepas, boleh digabungkan menjadi entiti tunggal. – MalaysiaGazette
















