KUALA LUMPUR – Penamatan filem Konspirasi yang baharu sahaja ditayang 21 Mei lalu dibuat tanpa pengaruh mana-mana pihak, demikian penjelasan pihak pengurusan Elepfilm Entertainment menerusi kenyataan hari ini.
Sebaliknya, menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berdasarkan situasi semasa.
“Keputusan tersebut dibuat secara dalaman oleh pihak pengurusan dan bukan atas tujuan publisiti atau strategi pemasaran. Pada masa sama, tiada mana-mana pihak yang mempengaruhi keputusan berkenaan,” katanya.
Justeru, Elepfilm Entertainment meminta supaya semua pihak menghentikan sebarang spekulasi, andaian atau penyebaran maklumat yang tidak sahih mengenai isu berkenaan.
“Pihak Elepfilm Entertainment menghargai segala maklum balas, sokongan dan pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak berhubung tayangan filem Konspirasi.
“Kami juga berharap para penonton akan terus memberikan sokongan kepada tenaga kreatif yang terlibat dalam filem Konspirasi serta industri perfileman tempatan secara keseluruhannya,” tambahnya.
Baru-baru ini, penamatan filem itu mencetuskan kontroversi sekali gus menjadi buah mulut terutama dalam kalangan peminat dan penggiat industri kerana baharu saja ditayangkan kurang sebulan.
Isu itu dibangkitkan salah seorang pelakon filem tersebut, Che Puan Sarimah Ibrahim yang turut meluahkan rasa terkejut dengan keputusan berkenaan menerusi platform Threads.
Sebagai rekod, filem itu merupakan arahan Ghaz Abu Bakar itu diterbitkan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.
Konspirasi mengangkat kisah badan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam misi berisiko tinggi membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit.
Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuk Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Roy Azman, Esma Daniel dan Sarimah. – MalaysiaGazette
















