Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu membidas Pemuda DAP kerana menuduh parti Melayu itu bagaikan kacang lupakan kulit, sedangkan mereka sendiri lupa jasa Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menegaskan, situasi Parlimen tergantung yang berlaku selepas PRU-15 menyaksikan tiada mana-mana gabungan politik berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Tetapi takdir ALLAH SWT, PH pilih BN untuk bentuk kerajaan bersama selepas pilihan pertama yang ditawarkan oleh Yang di-Pertuan Agong iaitu Perikatan Nasional (PN) menolak tawaran tersebut.

“PH ibarat perigi mencari timba apabila datang mendapatkan UMNO bagi membentuk kerajaan. Tanpa segan silu mereka hadir ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) untuk meminang UMNO demi membentuk kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, DAPSY meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan pembubaran Parlimen sekiranya UMNO Johor memilih untuk bergerak solo pada pilihan raya negeri (PRN) itu akan datang.

DAPSY berkata, tindakan segelintir pemimpin UMNO itu disifatkan ‘kacang lupakan kulit’ kerana tidak mengenang kerjasama yang membantu parti tersebut terus kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Gulam Muszaffar juga berkata, keputusan UMNO untuk menyertai kerajaan bukanlah sesuatu yang mudah kerana parti itu berdepan dilema besar antara mempertahankan prinsip perjuangan politik atau mengutamakan kestabilan negara.

Menurutnya, UMNO akhirnya memilih untuk mengutamakan kepentingan negara walaupun keputusan tersebut menerima tentangan dan penolakan daripada sebahagian besar akar umbi serta pimpinan parti.

“UMNO berada di dalam keadaan dilema yang amat sangat dengan prinsip dan perjuangan parti atau demi negara.

“UMNO memilih demi negara yang sudah pasti memeritkan survival dan perjuangan politiknya terutamanya penolakan yang kuat di semua peringkat dalaman parti dan ahli-ahli akar umbi,” katanya.

Mengulas kenyataan DAPSY yang mengkritik hasrat BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri akan datang, Gulam Muszaffar berkata, tindakan sayap pemuda DAP itu dilihat cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri.

“DAPSY tidak perlu nak tunjuk bagus dengan keputusan BN Johor yang ingin bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dengan kenyataan yang meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen terus jika UMNO/BN Johor kekal bertanding solo.

“Kita tunggu dan lihat sama ada Perdana Menteri mempunyai keberanian untuk membubarkan Parlimen sekiranya DUN Johor dibubarkan dalam masa terdekat dengan BN bertanding di semua 56 kerusi,” katanya.

Gulam Muszaffar turut mendakwa usaha politik yang digerakkan oleh Anwar kebelakangan ini gagal memberikan kelebihan kepada beliau, malah menyifatkan cengkaman politik Perdana Menteri semakin longgar dan berdepan cabaran mendapatkan semula keyakinan dalam kalangan rangkaian politiknya.

“Kita tunggu dan lihat jika PMX ada keberanian, sebab apa yang diluahkan yang berapi-api di atas pentas konvensyen PH di Johor baru-baru ini tak sama bila berada di luar dewan yang kenyataan lebih lunak untuk kembali berbincang dengan UMNO untuk menjalinkan kerjasama.

“Saya jangka PMX sendiri tidak berani untuk membubarkan Parlimen jika MB Johor membubarkan DUN dalam masa terdekat dengan kondisi dan syarat.

“Bertanding kesemua 56 DUN atas satu sebab iaitu tiada satu pun naratif politik yang ingin memberi imej dan gambaran yang baik kepada PMX tidak menjadi.

“Apa yang cuba diusahakan tidak menjadi, malah langkah dan cengkaman politik PMX bukan bertambah kuat tetapi mula longgar dan kehilangan kepercayaan dari rangkaian-rangkaian politiknya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan kebergantungan yang terlalu besar kepada DAP telah menjarakkan sokongan sebahagian pengundi Melayu terhadap Perdana Menteri.

“Maaf kata, kesilapan sebenar bila mana PMX kerana terlalu bergantung dengan DAP yang secara automatik menjauhkan pengundi-pengundi Melayu yang ‘taboo’ dan menjauhkan diri daripada beliau.

“Hanya sekitar 10 peratus orang Melayu bersama PMX. Saya ingin cadangkan kepada DAPSY daripada sibuk melabelkan UMNO sebagai kacang lupakan kulit, baik cermin diri sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast