Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bersatu negeri Kelantan menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti dalam Perikatan Nasional (PN) supaya menghentikan sebarang kenyataan berunsur provokasi, sindiran serta serangan sesama sendiri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan gabungan itu kekal bersatu dan berupaya meraih kemenangan.

Ketua Penerangan Bersatu Kelantan, Zulfaqar Yeop Dahalan berkata, kekuatan PN terletak pada perpaduan dan kesepakatan semua parti komponennya, bukannya perpecahan yang hanya akan menguntungkan pihak lawan serta melemahkan perjuangan yang dibina bersama.

Menurut beliau, bagi mencapai kemenangan dalam PRN Johor yang bakal berlangsung, setiap pihak perlu mengenepikan ego dan mengutamakan semangat kebersamaan demi memastikan keyakinan rakyat terhadap PN terus terpelihara.

“Segala perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan melalui saluran dalaman dan meja rundingan, bukannya melalui media atau kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu Kelantan mengambil maklum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang telah diperkenankan semalam, sekali gus membuka laluan kepada PRN yang akan diadakan mengikut tempoh ditetapkan undang-undang.

Katanya, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan, Bersatu Kelantan menghormati keputusan yang dibuat selaras dengan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Beliau turut mengingatkan bahawa, sokongan rakyat yang diterima PN sebelum ini adalah hasil semangat kesatuan dan kerjasama dalam kalangan parti-parti komponen gabungan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, tumpuan utama PN seharusnya diberikan kepada isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti peningkatan kos sara hidup, masalah banjir dan kebajikan rakyat, peluang pekerjaan serta masa depan golongan muda, selain pembangunan ekonomi yang mampan dan seimbang.

“PRN Johor bakal menjadi medan penting untuk membuktikan bahawa Perikatan Nasional masih kuat, relevan dan menjadi pilihan rakyat sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada,” ujarnya.

Beliau turut mengajak seluruh kepimpinan dan ahli PN untuk memperkukuhkan ukhuwah serta mengutamakan agenda rakyat melebihi kepentingan lain demi memastikan gabungan itu terus mendapat sokongan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast