Azmer Syazwan Ahmad Suparmin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan berpandangan rakyat kini semakin resah terhadap hala tuju pentadbiran negara dan mahukan kepimpinan yang stabil, berprinsip serta benar-benar bersedia memimpin, bukannya terus disajikan dengan pertikaian politik dan percaturan kuasa yang berpanjangan.

Ketuanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, dalam keadaan ekonomi yang masih memberi tekanan kepada rakyat, peningkatan kos sara hidup, cabaran mendapatkan pekerjaan serta pelbagai isu tadbir urus yang menjadi perhatian umum, rakyat mengharapkan penyelesaian yang nyata daripada pemimpin negara.

Menurut beliau, apa yang berlaku ketika ini sebaliknya lebih banyak memperlihatkan polemik politik, pertikaian berterusan dan percaturan kuasa yang semakin menjauhkan rakyat daripada agenda sebenar pembangunan negara.

“Rakyat tidak lagi berminat untuk menjadi penonton kepada drama politik yang tidak berpenghujung. Rakyat sedang menilai, memerhati dan membuat perbandingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masa depan Malaysia tidak boleh bergantung kepada populariti, slogan sementara atau janji yang silih berganti, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mempunyai asas perjuangan jelas, pasukan terlatih, jentera tersusun serta dasar yang berteraskan nilai dan pengalaman pentadbiran yang dibina secara konsisten.

Menggunakan perumpamaan “harimau tidak perlu mengaum setiap masa untuk membuktikan kekuatannya”, Azmer Syazwan berkata, kekuatan sebenar sesebuah organisasi terletak pada langkah yang tenang, tersusun dan meyakinkan.

Katanya, ketika banyak pihak masih mencari arah dalam landskap politik semasa, perlu ada kelompok yang terus memberi tumpuan kepada pembinaan kekuatan organisasi, latihan kepimpinan, pendidikan generasi muda serta pengukuhan institusi masyarakat bagi menghadapi cabaran masa depan negara.

Beliau menegaskan, perjuangan politik bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya mempersiapkan diri untuk memikul amanah pemerintahan apabila tiba masanya.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil,” katanya sambil memetik Surah An-Nisa’ ayat 58.

Menurut beliau, ayat tersebut mengingatkan bahawa kuasa adalah amanah yang menuntut persediaan, integriti, kecekapan dan keadilan, bukannya satu keistimewaan.

Tambahnya, Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan akan terus menumpukan usaha kepada pembinaan generasi pelapis, pengukuhan organisasi, latihan kepimpinan, penguasaan ilmu, penglibatan masyarakat serta persediaan jentera rakyat yang mampu menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran negara.

Beliau berkata, ketika sebahagian pihak masih bergelut untuk mempertahankan kuasa atau mencari formula baharu bagi kekal relevan, rakyat sebenarnya sedang mencari satu kekuatan yang stabil, berprinsip dan bersedia untuk memimpin negara.

“Kerana akhirnya, rakyat tidak akan memilih siapa yang paling lantang berbicara. Mereka akan memilih siapa yang paling bersedia untuk memimpin,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast