Foto: Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Dua mangsa yang cedera dalam kemalangan ngeri di Simpang Renggam, Johor menjadi individu pertama di negara ini menerima manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam yang mula berkuat kuasa semalam.

Mangsa terbabit, Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, disahkan sebagai pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), sekali gus melayakkan mereka menerima bayaran cuti sakit serta faedah kecacatan kekal daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, maklumat awal perubatan mendapati, Husnizam mengalami kecederaan pada bahu dan tangan, manakala Muhammad Amirul Hazim cedera di bahagian mulut.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa turut layak menerima rawatan implan, peralatan pemulihan serta rehabilitasi tanpa had mengikut keperluan mereka.

“Ramai yang memahami bahawa PERKESO memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja atau semasa menjalankan tugas.

“Namun melalui LINDUNG 24 Jam, perlindungan sosial kini diperluaskan kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti.

“Tragedi ini membuktikan bahawa musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi. Justeru, LINDUNG 24 Jam memastikan pencarum dan keluarga mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berdepan kesukaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, waris kepada tiga mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut turut layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 menerusi skim LINDUNG Pekerja, tertakluk kepada kelayakan masing-masing.

Sejurus kejadian berlaku, kata beliau, Skuad PERKESO Prihatin digerakkan bagi menyemak maklumat semua mangsa serta mengadakan lawatan untuk menyalurkan bantuan di bawah inisiatif LINDUNG 24 Jam dengan kadar segera.

Walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu bekerja, Mohammed Azman berkata, waris mangsa masih dilindungi PERKESO berdasarkan syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Beliau berkata, pelaksanaan skim baharu yang bermula secara rasmi semalam itu memperluaskan perlindungan kepada pencarum tanpa mengira masa dan lokasi kejadian menerusi konsep LINDUNG 24 Jam.

“Langkah proaktif ini memastikan mana-mana Orang Berinsurans (OB) yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mereka tetap mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menutup kelompangan yang wujud sebelum ini.

“PERKESO merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi dugaan berat kehilangan insan tersayang.

“Ini membuktikan setiap caruman yang dibuat oleh pencarum PERKESO tidak pernah sia-sia kerana ia digunakan untuk membantu mereka yang lain ketika ditimpa musibah. Inilah objektif utama mengapa PERKESO memperkenalkan inisiatif LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

“Kita mahu menyediakan benteng keselamatan sosial yang mampan dan utuh apabila musibah melanda tanpa diduga, seperti kes menyayat hati ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast