Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menggesa tindakan pendakwaan yang tegas diambil terhadap pemandu yang dipercayai menyebabkan kemalangan maut sehingga meragut lima nyawa, termasuk empat mangsa sekeluarga dalam kejadian tragis yang berlaku semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiden berkenaan merupakan satu tragedi yang tidak sepatutnya berlaku dan berpunca daripada pemanduan melulu serta membahayakan di jalan raya awam.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang sangat menyedihkan ini. Pemanduan sebegini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap polis dapat menyegerakan siasatan bagi memastikan kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Menurutnya, tindakan pendakwaan yang setimpal perlu dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan berkenaan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Dalam pada itu, Anthony Loke menegaskan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya dan tidak boleh dipandang ringan.

“Lesen memandu bukan satu kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari semalam, empat beranak disahkan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam–Simpang Renggam, berhampiran Penjara Simpang Renggam, Johor.

Mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latif, 33; ibu mentuanya, Semek Mat Soh, 73; serta anak saudara mereka, Nur Airish Syifa Sidek, 10. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast