Perkakas elektrik tanpa SIRIM yang menyebabkan dua beranak melecur. Gambar ihsan - Impak Madani.

BAYAN LEPAS – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Impak Madani menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan memperketat pemantauan terhadap penjualan perkakasan elektrik, khususnya di platform e-dagang yang tidak memenuhi piawaian keselamatan Malaysia.

Gesaan itu disuarakan susulan seorang ibu dan anak perempuannya dilaporkan mengalami kecederaan lecur pada muka dan bahu selepas mesin pembuat susu soya yang dibeli menerusi platform beli-belah sosial dari China meletup ketika digunakan di rumah mereka di Sungai Ara, dekat sini.

Menurut kenyataan itu, mangsa yang dikenali sebagai `Puan Zhang’ membeli perkakas elektrik berkenaan kerana anak perempuannya menggemari minuman susu soya.

Katanya, produk itu tiba dari China pada jam 4 petang kelmarin, sebelum mereka menggunakannya buat kali pertama pada hari yang sama.

“Apabila digunakan, perkakas tersebut meletup dan cecair panas itu menyimbah keluar hingga menyebabkan mereka melecur pada muka dan bahu.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini.

Tambah kenyataan itu, pemerhatian terhadap produk berkenaan mendapati tanda pengesahan keselamatan SIRIM yang sepatutnya dipaparkan pada perkakas elektrik yang dipasarkan di Malaysia gagal dikesan.

Katanya, mengikut Peraturan 97(1) di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 menetapkan bahawa semua perkakas elektrik voltan rendah yang dijual kepada orang awam di Malaysia wajib mendapat kelulusan dan Sijil Perakuan (COA) daripada Suruhanjaya Tenaga serta pengesahan SIRIM.

“Ini sekali gus timbul persoalan bagaimana perkakas elektrik kegunaan domestik tanpa pensijilan tersebut boleh memasuki pasaran tempatan melalui platform e-dagang luar negara.

“Justeru kita menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan memperketat pemantauan terhadap penjualan perkakas elektrik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan negara termasuk di platform e-dagang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Kita juga ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli perkakas elektrik menerusi platform e-dagang dan memastikan produk yang dibeli mempunyai pensijilan keselamatan yang sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast