SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan cadangan semakan dan penambahbaikan Garis Panduan serta Piawaian Perancangan Kemudahan Masyarakat bagi rumah ibadat bukan Islam tidak bertujuan menyekat kebebasan beragama.
Sebaliknya, ia bagi memastikan peraturan perancangan kekal praktikal, inklusif dan memenuhi keperluan masyarakat pelbagai kaum serta agama di negeri itu.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Papparaidu Veraman berkata, keputusan untuk menyemak dan mengoptimumkan garis panduan berkenaan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurutnya, beberapa dakwaan yang tular berhubung garis panduan tersebut adalah tidak tepat dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan Negeri Selangor kekal komited dalam menyokong komuniti agama bukan Islam serta memastikan kebebasan beragama terus dipelihara.
“Sejak tahun 2008, kerajaan negeri telah meluluskan dan mengeluarkan 481 tapak tanah bagi tujuan rumah ibadat bukan Islam.
“Di bawah pentadbiran semasa sahaja, sebanyak 57 tapak telah diluluskan manakala 40 lagi permohonan sedang diproses,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan tapak yang diluluskan dijangka melepasi 500 menjelang akhir tahun ini, sekali gus menjadikan Selangor antara negeri yang paling banyak meluluskan tapak rumah ibadat bukan Islam di negara ini.
Mengulas dakwaan rumah ibadat bukan Islam tidak lagi dibenarkan mempunyai akses terus ke jalan utama, Papparaidu menjelaskan perkara itu tidak benar.
Katanya, cadangan penyediaan jalan perkhidmatan (service road) dibuat semata-mata atas pertimbangan pengurusan trafik dan keselamatan awam.
“Rumah ibadat yang terletak di tepi jalan utama lazimnya menarik kehadiran ramai pengunjung ketika perayaan atau acara keagamaan.
“Jalan perkhidmatan dicadangkan bagi memudahkan akses keluar masuk kenderaan dan urusan parkir tanpa mengganggu aliran trafik di jalan utama,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Paparaidu juga menafikan dakwaan kuil atau tempat sembahyang kecil yang terletak di tapak pembinaan akan dirobohkan.
Menurutnya, garis panduan tersebut hanya merujuk kepada struktur sementara yang dibina dalam kawasan projek pembangunan sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.
“Apabila rumah ibadat kekal siap dibina, struktur sementara tersebut dijangka dipindahkan ke lokasi yang sesuai.
“Tiada dasar atau arahan untuk merobohkan rumah ibadat atau tempat sembahyang secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kebimbangan berkaitan had keluasan tanah dan ketinggian bangunan juga perlu dilihat dalam konteks perancangan bandar yang lebih menyeluruh.
Katanya, garis panduan sedia ada mengesyorkan keluasan tapak antara 0.25 hingga 0.5 ekar, manakala ketinggian bangunan sehingga 72 kaki atau kira-kira enam tingkat dicadangkan bagi mengambil kira keperluan infrastruktur serta jarak bangunan.
Beliau berkata, garis panduan berkenaan telah diguna pakai sejak 2010 dan kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk meneliti serta menambah baik keperluan tersebut sekiranya perlu.
“Kerajaan negeri kekal komited mempertahankan kebebasan beragama, menjaga kepentingan semua komuniti agama dan memastikan dasar perancangan yang dilaksanakan dapat memupuk keharmonian, keselamatan serta pembangunan mampan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak terpengaruh dengan dakwaan atau maklumat yang tidak disahkan berkaitan semakan garis panduan tersebut.
Papparaidu berkata, kerajaan negeri akan terus mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang penambahbaikan yang dilakukan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor. – MalaysiaGazette
















