KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, VKK Rajasekaran menawarkan diri untuk merebut jawatan Presiden Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI) pada pemilihan yang dijadual berlangsung 14 Jun depan.
Berbekalkan pengalaman selama 23 tahun bersama dewan perdagangan itu, beliau berkata sudah tiba masanya KLSICCI kembali memainkan peranan lebih besar sebagai platform memperkasa usahawan selain membuka lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan India.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Rajasekaran berkata beliau membawa slogan ‘From Legacy to Leverage’ yang mencerminkan hasrat untuk memanfaatkan legasi dan pengaruh KLSICCI bagi menghasilkan manfaat lebih nyata kepada ahli.
Menurutnya, KLSICCI mempunyai sejarah panjang dan pernah menjadi antara organisasi perniagaan paling berpengaruh dalam komuniti India, khususnya sekitar penghujung 1990-an dan awal 2000-an.
Katanya, pada ketika itu, KLSICCI bukan sahaja menjadi platform jaringan perniagaan, malah berfungsi sebagai suara yang dihormati dalam membawa isu dan aspirasi usahawan kepada pelbagai pihak berkepentingan.
“Ramai masih mengingati zaman kegemilangan KLSICCI apabila organisasi ini menjadi rujukan utama usahawan India untuk membina hubungan perniagaan, mendapatkan maklumat dan meneroka peluang baharu.
“Kita mempunyai legasi yang sangat kuat. Namun dalam dunia perniagaan hari ini, legasi sahaja tidak mencukupi jika ia tidak diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai oleh ahli,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rajasekaran berkata, landskap perniagaan hari ini jauh berbeza berbanding dua dekad lalu apabila usahawan berdepan peningkatan kos operasi, persaingan lebih sengit serta keperluan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan ekonomi digital.
Beliau berpandangan dewan perdagangan tidak lagi boleh berfungsi sekadar sebagai penganjur program atau majlis jaringan, sebaliknya perlu menjadi organisasi yang mampu membantu ahli mendapatkan akses kepada peluang perniagaan, pembiayaan, pasaran dan rangkaian strategik.
“Ramai ahli mempunyai produk dan perkhidmatan yang berkualiti, tetapi berdepan cabaran untuk berkembang kerana kekurangan akses kepada peluang, maklumat dan jaringan yang sesuai.
“Peranan KLSICCI adalah membantu membuka pintu tersebut dan menjadi jambatan yang menghubungkan ahli dengan pihak yang boleh membantu mereka berkembang,” ujarnya.
Menurut beliau, pengalaman lebih dua dekad bersama KLSICCI memberinya pemahaman mendalam mengenai cabaran yang dihadapi usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk sebahagian besar komuniti perniagaan India.
Justeru, antara perkara yang ingin diberi perhatian adalah memperkukuh hubungan dewan itu dengan agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelbagai badan pembangunan ekonomi.
Katanya, kerjasama yang lebih erat dengan pelbagai pihak berkepentingan mampu mewujudkan lebih banyak peluang kepada ahli dalam aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, latihan, pemasaran dan pengembangan perniagaan.
Dalam masa sama, beliau mahu melihat KLSICCI memainkan peranan lebih aktif membantu ahli menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan pendigitalan yang semakin menjadi keperluan dalam dunia perniagaan.
Beliau berkata, ramai usahawan tradisional masih mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya diberikan pendedahan, bimbingan dan akses kepada platform yang sesuai.
“Kita tidak boleh hanya bercakap tentang kejayaan masa lalu. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menggunakan kekuatan dan legasi yang ada untuk mencipta peluang baharu kepada ahli pada masa depan.
“Itulah semangat di sebalik slogan ‘From Legacy to Leverage’. Kita mahu menjadikan legasi yang dibina selama ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan dan kejayaan generasi usahawan seterusnya,” katanya.
Rajasekaran berkata, beliau yakin KLSICCI mempunyai potensi besar untuk kembali menjadi organisasi yang lebih berpengaruh, lebih relevan dan lebih dekat dengan keperluan ahli sekiranya diberi mandat untuk menerajui dewan perdagangan tersebut.
Pemilihan kepimpinan baharu KLSICCI bagi penggal 2026-2028 dijadual berlangsung pada 14 Jun ini dan dijangka menarik perhatian komuniti perniagaan India yang mahu melihat hala tuju baharu organisasi berkenaan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. – MalaysiaGazette
















