Anak-anak sebak bercampur gembira melihat ibunya yang merupakan pendaki hilang selama 15 hari di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, selamat tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma pada jam 9.20 malam untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Tapah. Foto ANIQ NABILAFIQ, 06 JUN 2026.

TAPAH – Suasana sebak bercampur kegembiraan memenuhi ruang unit kecemasan Hospital Tapah apabila suami dan anak-anak pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, Jaslinda Saludin, 49, mencium dan memeluk wanita berkenaan.

Jaslinda yang dibawa menaiki kenderaan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari lokasi dia ditemui selamat tiba di perkarangan hospital pada jam 9.20 pagi.

Lebih menyentuh hati, suaminya terus memeluk dan mencium wanita berkenaan ketika dibawa keluar dari EMRS sebelum diikuti panggilan ‘ibu’ oleh anak-anak beliau yang turut memeluk dan mencium Jaslinda.

Wanita berkenaan kemudiaan dibawa masuk pasukan perubatan bagi mendapatkan rawatan.

Terdahulu Jaslinda ditemukan berhampiran di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Batu 8, Jalan Pahang, di sini, oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Nazri Bah Eng.

Jaslinda yang hilang sejak 15 hari lalu ditemui berjalan menyeberangi jambatan oleh seorang penduduk Orang Asli yang sedang memancing pada pukul 5.10 petang.

Dia kemudiannya di bawa ke rumah tok batin yang terletak kira-kira satu kilometer sebelum dijamu hidangan mi goreng, nasi berlaukkan ayam goreng dan ikan tengas serta ubi kayu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast