Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian semalam.

TASEK GELUGOR – Keputusan bedah siasat terhadap seorang warga emas yang ditemukan meninggal dunia dalam parit di Jalan Merbau Kudung di sini, semalam mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat lemas.

Keputusan itu sekali gus menafikan andaian awal yang mengaitkan kematian mangsa dengan kemalangan langgar lari.

Mangsa, Adanan Hassim, 64, ditemukan oleh sekumpulan kanak-kanak yang sedang menyauk ikan di kawasan berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Rahman berkata, hasil bedah yang dijalankan di Hospital Kepala Batas mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas.

“Manakala kecederaan patah pada pergelangan kaki kiri mangsa dipercayai berpunca daripada terjatuh dalam longkang tersebut.

“Hasil siasatan dan bedah siasat juga mendapati tiada unsur jenayah sekali gus menolak andaian kemalangan langgar lari seperti yang diandaikan sebelum ini,” katanya hari ini.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mensensasikan kes berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan siasatan yang sedang dijalankan polis.

“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Jefri Hussain di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Kanak-kanak sauk ikan temukan mayat lelaki dalam parit

MalaysiaGazette semalam melaporkan, kegembiraan sekumpulan kanak-kanak yang sedang menyauk ikan bertukar cemas apabila menemukan mayat Adanan di dalam parit di Jalan Merbau Kudung.

Penemuan mayat mangsa kemudian dimaklumkan kepada penduduk kampung sebelum laporan dibuat kepada polis kira-kira jam 10 pagi.

Mangsa yang tinggal bersendirian di Kampung Nyior Sebatang selepas bercerai lebih belasan tahun lalu ditemukan kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Ketika kejadian, terdapat andaian awal bahawa mangsa mungkin dilanggar kenderaan sebelum terjatuh ke dalam parit susulan kecederaan pada kaki kirinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast