JOHOR BHARU – Pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebagai Naib Presiden Keadilan dilihat sebagai langkah strategik Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuhkan pasukan teras menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin hampir.
Sumber tertinggi parti memberitahu MalaysiaGazette, keputusan itu bukan sekadar pengisian jawatan tambahan dalam organisasi, sebaliknya dibuat selepas mengambil kira cabaran politik yang bakal dihadapi parti di Johor.
Menurut sumber itu, Johor kini menjadi fokus utama kepimpinan pusat memandangkan pilihan raya tersebut dijangka menjadi antara ujian politik terbesar kepada keadilan dan Pakatan Harapan sejak pemilihan parti lalu.
“PRN Johor bukan pilihan raya biasa. Presiden mahu memastikan pasukan yang mengendalikan parti dan pilihan raya terdiri daripada individu yang beliau percaya serta mampu bekerja tanpa banyak masalah.
“Sebab itu pelantikan Saifuddin dan Dr Zaliha perlu dilihat dalam konteks persiapan menghadapi PRN Johor,” katanya hari ini.
Menurut sumber berkenaan, Saifuddin masih dianggap antara pengurus politik paling berpengalaman dalam parti selain mempunyai hubungan baik dengan pelbagai kelompok kepimpinan.
Dr Zaliha pula semakin menyerlah sejak menerajui keadilan Johor dan dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jentera negeri itu menjelang pilihan raya.
“Kalau dilihat sekarang, Dr Zaliha antara pemimpin yang semakin meningkat dalam parti. Beliau bekerja secara konsisten dan mendapat kepercayaan Presiden.
“Pelantikan ini juga memberi pengiktirafan kepada peranan beliau di Johor,” ujarnya.

Sumber sama berkata, walaupun keadilan sudah mempunyai beberapa Naib Presiden yang dipilih anggota, pelantikan dua lagi pemimpin kanan itu menunjukkan Anwar mahu meletakkan individu tertentu dalam pasukan paling hampir dengannya menjelang pilihan raya.
Menurutnya, walaupun Datuk Seri Aminuddin Harun dan Chang Lih Kang merupakan Naib Presiden yang dipilih anggota, kedua-duanya sering dikaitkan dengan kelompok yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Ini bukan soal menolak sesiapa tetapi Presiden tentunya mahu memastikan pasukan yang menguruskan pilihan raya terdiri daripada individu yang beliau benar-benar selesa bekerja bersama.
“Saifuddin dan Dr Zaliha dilihat lebih dekat dengan Presiden dan lebih mudah untuk menggerakkan agenda parti ketika ini,” katanya.
Beliau berkata, kesan persaingan pemilihan parti masih dirasai di beberapa peringkat walaupun tiada sebarang perpecahan terbuka berlaku.
Malah, terdapat dalam kalangan ahli yang masih mempersoalkan cara beberapa isu pasca pemilihan ditangani termasuk melibatkan Rafizi dan penyokongnya.
“Krisis itu mungkin tidak kelihatan di luar tetapi ia masih berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
“Masih ada kelompok yang tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan parti dan cara beberapa perkara dikendalikan selepas pemilihan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Amirudin Shari dilihat muncul sebagai antara tokoh paling dominan dalam struktur operasi parti ketika ini.
Selain memegang jawatan Naib Presiden, Menteri Besar Selangor itu juga menjadi antara individu paling aktif dalam penyusunan jentera pilihan raya dan gerak kerja parti di seluruh negara.
Menurut sumber, Amirudin kini berada di barisan hadapan hampir semua persiapan pilihan raya termasuk mesyuarat strategik dan penyelarasan jentera negeri.
“Kalau bercakap mengenai jeneral perang parti sekarang, Amirudin antara yang paling ke depan.
“Beliau hadir hampir semua mesyuarat penting, turun ke negeri-negeri dan terlibat secara langsung dalam penyusunan strategi pilihan raya,” katanya.

Pada masa sama, beberapa pemimpin parti turut mempersoalkan peranan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar yang dilihat kurang menonjol dalam gerak kerja organisasi sejak memenangi jawatan nombor dua parti.
Menurut sumber, Nurul Izzah tidak kelihatan dalam beberapa mesyuarat penting kebelakangan ini termasuk pertemuan yang melibatkan penyusunan strategi menghadapi pilihan raya.
“Ramai ahli menjangkakan beliau akan menjadi wajah utama parti selepas menang jawatan Timbalan Presiden.
“Tetapi setakat ini yang lebih banyak mengurus operasi dan bergerak di lapangan ialah Amirudin, Saifuddin dan Dr Zaliha,” katanya.
Sumber itu turut mendedahkan keadilan dijangka melakukan beberapa kejutan dalam pemilihan calon PRN Johor apabila beberapa nama besar parti sedang dipertimbangkan untuk diturunkan bertanding.
Menurutnya, kepimpinan pusat melihat PRN Johor sebagai medan yang tidak boleh dipandang ringan kerana keputusan pilihan raya itu bakal menjadi petunjuk awal kepada landskap politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Ada beberapa nama besar yang sedang dipertimbangkan. Presiden mahu memastikan parti menampilkan calon yang boleh memberi impak kepada kempen keseluruhan.
“PRN Johor mempunyai nilai simbolik yang sangat besar kepada kerajaan hari ini,” katanya.
Pada masa sama, DAP juga difahamkan sedang membuat persiapan besar-besaran bagi menghadapi PRN Johor dengan jentera parti itu dijangka digerakkan sepenuhnya sepanjang kempen.
Menurut sumber, pilihan raya itu turut dilihat sebagai ukuran awal terhadap tahap sokongan masyarakat Cina selepas hampir empat tahun Kerajaan Madani mentadbir negara.
“Semua pihak mahu melihat sama ada sokongan pengundi Cina masih kekal seperti sebelum ini atau berlaku perubahan.
“Sebab itu DAP dijangka turun habis-habisan pada PRN Johor,” katanya.
Beliau berkata, pilihan raya berkenaan juga akan menjadi ujian penting kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang kini dilihat sebagai antara pemimpin paling berpengaruh dalam parti itu.

“Ramai akan menilai sama ada Anthony masih mampu mengekalkan kekuatan tradisi DAP dan memastikan pengundi Cina terus bersama parti itu.
“Atas sebab itu, persiapan yang sedang dilakukan sekarang jauh lebih besar daripada apa yang dilihat di permukaan,” katanya. -MalaysiaGazette
















