Ahmad Abu Bakar

ALOR GAJAH – Seorang pelajar kolej berdepan detik cemas apabila disyaki diacukan senjata tajam sebelum dipaksa melakukan rangsangan seksual oleh penuntut universiti tempatan yang baru dikenalinya, awal pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, mangsa gadis berusia 20 tahun bagaimanapun terselamat ababila berjaya melarikan diri ketika kenderaan dipandu suspek berhenti di lampu isyarat berhampiran Bulatan Gangsa, Durian Tunggal.

Menurutnya, mangsa mengenali suspek, pelajar universiti tempatan berusia 24 tahun melalui aplikasi Litmatch sebelum suspek mengajaknya keluar dan mengambilnya di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir kira-kira jam 12.20 tengah malam 4 Jun lalu.

“Mangsa bersetuju untuk dibawa bersiar-siar ke Pantai Klebang namun mula berasa curiga apabila suspek yang juga pelajar univerisiti tempatan berusia 24 tahun membawanya ke arah lain sehingga tiba di kawasan Durian Tunggal.

“Pelajar kolej itu beberapa kali meminta suspek menghantarnya pulang namun suspek enggan sebaliknya meminta mangsa memematikan ‘live location’ yang sedang diaktifkan mangsa.

“Suspek turut didakwa mengugut mangsa dengan mengacukan senjata tajam sebelum mangsa terpaksa menuruti arahan menutup fungsi ‘live location’ tersebut kerana ketakutan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa turut mendakwa dia cuba menenangkan suspek ketika diacukan senjata berkenaan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Bagaimanapun, suspek didakwa secara tiba-tiba memegang tangan mangsa sebelum meletakkannya pada kemaluannya serta memaksa mangsa melakukan rangsangan seksual terhadapnya.

“Mangsa yang ketakutan terpaksa melakukannya seketika namun sebaik sahaja kenderaan berhenti di lampu isyarat, dia segera membuka pintu dan melarikan diri manakala suspek beredar meninggalkan lokasi.

“Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian tampil membuat laporan polis pada hari sama,” katanya.

Ahmad berkata, hasil tindakan pantas polis berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Suspek pelajar universiti tempatan itu telah direman dan tempoh reman disambung sehingga 9 Jun ini.

“Masyarakat terutamanya remaja diingatkan supaya tidak mudah mempercayai individu yang baru dikenali di media sosial yang mungkin boleh mengundang pelbagai risiko jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast