JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih kepada menyusahkan rakyat akibat percaturan poliitik.
Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz mendakwa, PRN itu dilakukan dalam keadaan tidak sesuai ketika negara berdepan pelbagai krisis yang menghimpit kehidupan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, sedangkan PRN masih boleh ditangguhkan kerana mandat rakyat masih berbaki sehingga April tahun depan.
“Rakyat sedang berhadapan dengan krisis ekonomi. Harga minyak pun tengah naik sekarang ini. Harga barang naik, gaji tak meningkat dan krisis perumahan pun besar.
“Kalau kita ikutkan timeline, setiap kali pilihan raya sebenarnya mereka mempunyai mandat selama lima tahun. Apatah lagi di Johor ini, mandat lima tahun itu boleh disempurnakan kerana tidak ada isu kestabilan.
“Sepatutnya, Johor ni ada timeline sampai April 2027. Lama lagi. Negeri Sembilan lagilah. Negeri Sembilan ada timeline sampai hujung tahun 2028,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mempersoalkan mengapa PRN Negeri Sembilan perlu diadakan sedangkan negeri tersebut baru sahaja mengadakan pilihan raya pada 2023.
Katanya, belum sampai tiga tahun tetapi akan adakan satu lagi pilihan raya.
Dakwanya, akibat percaturan politik seperti itu akan menyebabkan beberapa perkara, pertama akan menyusahkan rakyat.
“Sebab rakyat dalam mindset mereka, pilihan raya lama lagi. Ramai orang ada book pelbagai program, ramai orang yang masih di luar daripada negeri.
“Sekarang ni, mereka terpaksa ambil cuti. Mereka terpaksa ubah planning mereka supaya dapat balik mengundi. Perkara ini tak adil untuk rakyat,” katanya.
Kedua, ujarnya, sebarang polisi-polisi yang sudah pun dirancangkan sekarang ini perlu diberhentikan sementara sehingga PRN dijalankan.
“Kita akan ada pause yang agak panjang untuk sebarang polisi dan juga benda benda yang membantu rakyat,” katanya.
Sekarang ini, kata Amira Aisya, terdapat pelbagai krisis yang perlu dihadapi rakyat tetapi ‘ahli politik’ yang bertanggungjawab tidak melakukan apa-apa.
“Ahli politik daripada duduk fikir pasal rakyat, mereka fikir pasal jawatan, fikir pasal kuasa. Mereka fikir bila masa yang paling sesuai untuk aku bubar supaya aku menang.
“Ini semua percaturan politik yang menyusahkan rakyat, yang tak fikir pasal rakyat. Hanya fikir pasal diri sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette
















