ALOR GAJAH – Seorang mahasiswa universiti di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang gadis, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Amir Nabil Salehuddin, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dr Teo Shu Yee sebaik pertuduhan dibacakan di jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dengan menyuruh mangsa berusia 20 tahun membuat rangsangan seksual menggunakan tangan ketika berada di dalam sebuah kereta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jambatan Jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), dalam daerah Alor Gajah, di sini kira-kira jam 1.13 pagi 4 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan lapor diri di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Shahrul Amali Shafie memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM2,000 dengan alasan tertuduh masih belajar di pusat pengajian negeri ini.
Tertuduh juga akan dijamin ibunya yang juga merupakan pesara kerajaan.
Mahkamah kemudian membenarkan penuntut universiti itu dijamin RM4,600 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 15 Julai depan.
MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan seorang pelajar perempuan sebuah kolej dipaksa melakukan rangsangan seksual oleh penuntut universiti tempatan yang baharu dikenalinya melalui aplikasi Litmatch ketika keluar bersama. – MalaysiaGazette
















