KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa semua pemimpin politik agar menghentikan polemik serta perebutan kuasa yang dilihat semakin meruncing dalam kalangan parti-parti politik Melayu.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, mereka perlu memberi tumpuan kepada usaha menangani tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat.
“Perpecahan dan perselisihan dalam kalangan kepimpinan politik, khususnya melibatkan Pas dan Bersatu tidak memberi manfaat kepada rakyat yang kini berdepan pelbagai cabaran kehidupan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pas secara rasmi memutuskan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu dan perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam pada Isnin.
Irwan juga berkata, rakyat ketika ini lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kenaikan harga barang, peningkatan kos perniagaan, peluang ekonomi yang semakin mencabar serta beban kos sara hidup yang terus menekan.
Dalam kenyataan sama, Irwan turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan yang mencetuskan polemik berkaitan institusi Yang di-Pertuan Besar.
Beliau menegaskan, sebarang perbezaan pandangan atau pertikaian yang timbul perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan, undang-undang dan adat yang telah sekian lama menjadi asas kepada kestabilan negeri serta negara.
Beliau turut menegaskan, bangsa Melayu dan Bumiputera tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada perpecahan politik mahupun konflik perebutan kuasa.
“Golongan paling terkesan ialah rakyat biasa yang mengharapkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kepimpinan yang bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, PERKASA menyeru semua pemimpin politik, pembesar negara dan pihak berkepentingan supaya mengetepikan agenda peribadi serta kepentingan kelompok tertentu demi kepentingan negara.
Katanya lagi, semua pihak diseru mengutamakan kepentingan rakyat, menghormati institusi negara dan menghentikan budaya perebutan kuasa yang hanya merugikan masyarakat serta negara secara keseluruhan.
“Utamakan rakyat, hormati institusi negara, hentikan perebutan kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















