PUTRAJAYA – Malaysia merekodkan ketibaan 17.5 juta pelancong setakat bulan lalu, sekali gus meletakkan negara berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man berkata, jumlah tersebut masih selaras dengan perancangan yang telah disusun kerajaan bagi memastikan momentum sektor pelancongan negara terus diperkukuh.
“Setakat Mei tahun ini, kita ada 17.5 juta pelancong asing yang sudah memasuki negara,” katanya pada sidang media selepas pelancaran nombor pendaftaran khas sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, hari ini.
Hadir sama adalah Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Khairil Anuar Karim.
Untuk rekod, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menyasarkan kedatangan antara 40 hingga 47 juta pelancong antarabangsa serta menjana pendapatan pelancongan sehingga mencecah RM329 bilion bagi merancakkan limpahan ekonomi negara.
Ketika ditanya sama ada pencapaian itu menepati sasaran kementerian, beliau berkata, jumlah berkenaan masih berada pada landasan yang dirancang.
Menurut beliau, MOTAC akan terus mempergiat pelbagai program promosi dan publisiti sama ada di dalam mahupun luar negara bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
Katanya, usaha itu turut digerakkan melalui pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara dengan kerjasama pemain industri termasuk ejen pelancongan, media serta pempengaruh bagi memperluaskan promosi destinasi pelancongan negara.
“Kita akan teruskan program-program dan aktiviti promosi di luar negara melalui pejabat-pejabat Tourism Malaysia dengan kerjasama stakeholder tempatan seperti ejen travel dan KOL (individu berpengaruh) untuk menarik mereka datang ke negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Choon Man berkata, pelancaran nombor pendaftaran khas VM2026 merupakan antara inisiatif baharu bagi memperhebatkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
MOTAC bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkenalkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ’V 1 MY’ hingga ’V 9999 MY’ sempena VM2026.
Menurutnya, sebelum ini MOTAC turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat swasta daripada pelbagai sektor termasuk restoran dan kosmetik bagi meningkatkan publisiti serta imej kempen tersebut.
“Kami percaya dengan kerjasama seperti ini, kita dapat terus meningkatkan lagi publisiti dan juga imej tentang promosi program VM2026 dengan hasrat bahawa dapat meningkatkan lagi lebih ramai pelawat khususnya daripada antarabangsa dan juga pelawat tempatan untuk sama-sama menjayakan kempen ini,” katanya.
Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ’V 1 MY’ hingga ’V 9999 MY’ itu akan mula dijual pada 13 hingga 17 Jun depan. – MalaysiaGazette
















