Foto IG Lisa Surihani.

KUALA LUMPUR – Netizen meluahkan rasa kagum dan terinspirasi dengan catatan tangan pelakon Datin Lisa Surihani yang berkisar tentang persiapan rohani menjelang ibadat haji.

Kandungan itu tular di media sosial selepas perkongsian itu dibuat seorang petugas agensi umrah, Dr Amirul Hassan menerusi TikTok apabila memuat naik video memaparkan buku nota peribadi milik isteri kepada penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim itu.

Menerusi video itu, Amirul menunjukkan satu persatu halaman buku nota yang mengandungi pelbagai catatan berkaitan persiapan haji termasuk panduan ibadah, nota kerohanian dan petikan ayat al-Quran yang dijadikan rujukan Lisa sebagai persediaan menunaikan rukun Islam kelima.

Antara yang menarik perhatian ialah nota tulisan tangan dalam bahasa Melayu yang merangkumi pelbagai aspek manasik haji, selain catatan dalam bahasa Inggeris membabitkan topik seperti sunah, istighfar, haji mabrur, keluarga serta panduan amalan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Kagum sangat dengan catatan Hajah Lisa Surihani sebagai persediaan rohaninya menghadapi hari-hari haji.

“Beliau juga meminta doa daripada kita semua agar terus istiqamah dalam beragama,” katanya menerusi kapsyen hantaran itu.

Rata-rata netizen menzahirkan pujian terhadap Lisa yang disifatkan sebagai individu yang sentiasa menitikberatkan persiapan ilmu dan rohani sebelum mengerjakan haji.

Ramai turut mengakui terinspirasi dengan usaha pelakon itu mencatat dan menyusun pelbagai panduan ibadah sebagai rujukan peribadi sepanjang berada di Tanah Suci.

Sebelum ini, media melaporkan Lisa berada di Makkah selama 45 hari selepas berangkat menunaikan ibadat haji pada 7 Mei lalu.

Bagaimanapun, suaminya, Yusry, dilaporkan tidak dapat berangkat bersama selepas rayuannya untuk mendapatkan visa haji tidak berjaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast