Peserta menyertai pertandingan bagi penyediaan sandwic. - Foto UMS

KOTA KINABALU – Program Hospitality Fiesta 2.0 anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana sebenar industri hospitaliti melalui penganjuran pertandingan dan pameran kemahiran berkaitan hospitaliti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini penting kerana di samping memiliki pengetahuan teori para pelajar juga perlu melengkapi diri dengan kemahiran praktikal, komunikasi interpersonal serta sikap profesional yang tinggi.

“Saya percaya platform seperti ini bukan sahaja mampu mencungkil bakat dan kreativiti para peserta, malah turut meningkatkan tahap kompetensi serta keyakinan diri mereka dalam bidang hospitaliti.

“Peluang sebegini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya para pelajar dapat menimba pengalaman, membina jaringan profesional dan memperkasakan kemahiran masing-masing,” katanya dalam ucapan perasmian sempena program tersebut di Perkarangan FPEP, UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Ts. Dr. Rayner Alfred.

Dalam pada itu, Kasim berkata, bidang hospitaliti bukan bergantung kepada kemahiran teknikal semata-mata.

“Nilai-nilai insaniah seperti disiplin, etika kerja, komunikasi yang berkesan, sikap bertanggungjawab serta kemampuan untuk bekerja dalam satu pasukan juga amat penting.

“Nilai-nilai inilah yang akan membentuk graduan yang berkualiti, berdaya tahan dan mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, malah di persada antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, bidang hospitaliti merupakan antara sektor yang amat penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memperkukuhkan industri pelancongan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast