KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak puas hati kena hon, seorang penunggang motosikal cedera dipercayai akibat ditetak penunggang lain dalam kejadian di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13, Shah Alam pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian itu daripada talian MERSS 999 pukul 9.19 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 7 pagi ketika mangsa lelaki berusia 45 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Ketika melalui laluan berkenaan, mangsa telah menekan hon kepada suspek lelaki berumur 43 tahun kerana menghalang laluan mangsa menyebabkan suspek tidak berpuas hati.

“Kemudian suspek telah berhenti di tepi jalan dan bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarudin, dalam kejadian itu, mangsa yang mengalami cedera di kepala, belakang leher, lengan serta tangan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta  menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast