SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa rakyat negeri itu keluar mengundi melebihi 80 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos depan bagi memberi pengajaran kepada pihak yang didakwanya mengkhianati mandat rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, hanya pengundi mempunyai kuasa untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab mencetuskan krisis politik ketika kerajaan negeri sedang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.
“Kalau boleh, kita nak 1 Ogos nanti bukan sekitar 70 peratus sahaja keluar mengundi, kita nak 80 peratus keluar mengundi. Inilah peluang kita. Tunjukkan kepada mereka, biar pengundi yang ajar mereka.
“Kita nak masyarakat ajar mereka, kita nak pengundi ajar mereka dan kita nak mereka faham apa itu demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam ini.
Aminuddin berkata, rakyat perlu menilai semula tindakan pihak yang menyebabkan negeri itu terpaksa berdepan pilihan raya ketika pentadbiran sedia ada sedang berada pada landasan yang baik.
Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya dapat meneruskan agenda pembangunan tanpa gangguan, namun terpaksa kembali mendapatkan mandat rakyat susulan kemelut politik yang berlaku.
“Kita sedang memacu ekonomi, memacu pembangunan dan memacu kebaikan sosial untuk rakyat. Ketika kita sedang laju, kita dikhianati.
“Kerana itu saya harap rakyat yang sayangkan negeri ini, yang mahu melihat pembangunan terus berjalan dan pelaburan terus meningkat, balik mengundi dan tunjukkan rasa tidak puas hati kepada mereka yang mengkhianati mandat rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan semua jentera dan calon PH supaya menerima keputusan kepimpinan parti berhubung pemilihan calon serta mengelakkan sebarang unsur sabotaj dalaman.
“Saya tidak ingin dengar mana-mana calon yang tidak dipilih bertindak tidak menyokong calon yang diumumkan parti. Kita tidak boleh mengkhianati parti hanya kerana kepentingan individu.
“Apa jua nama yang dipilih pimpinan, kita mesti sokong dan bekerja untuk kemenangan bersama,” katanya.
Beliau turut menyifatkan PRN kali ini sebagai medan penting untuk memastikan Negeri Sembilan terus ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan tidak mudah digugat oleh percaturan politik.
Aminuddin berkata, kemenangan pada pilihan raya itu juga penting bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan demi memastikan agenda pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan. – MalaysiaGazette
















