Seramai 100 orang peserta berhimpun sambil memegang plakad hadir pada Himpunan Gegar TikTok di hadapan Menara Sunway Velocity, Cheras. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia mendesak TikTok Malaysia mengembalikan semula kandungan serta akaun yang dipercayai disekat atas faktor politik dan menjelaskan secara telus asas serta proses di sebalik setiap tindakan sekatan tersebut.

Ketua Armada Bersatu Selangor merangkap Exco Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage berkata, desakan itu disuarakan menerusi Himpunan Gegar TikTok yang berlangsung hari ini sebagai manifestasi suara rakyat yang didakwa semakin terhakis hak kebebasan bersuara di platform media sosial berkenaan.

Menurutnya, himpunan tersebut lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap tindakan sekatan kandungan dan akaun yang dilihat semakin berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya terhadap pengguna yang mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan.

Na’im Brundage

Katanya, sebagai platform yang beroperasi di Malaysia, TikTok Malaysia wajib mematuhi undang-undang negara serta menghormati prinsip demokrasi yang menjamin hak rakyat untuk bersuara seperti termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, hak ini semakin terhakis apabila kandungan dan akaun TikTok yang mempersoalkan kerajaan disekat tanpa proses yang jelas, telus dan adil. Tindakan ini menimbulkan persoalan serius terhadap ketelusan TikTok Malaysia dalam menguruskan kandungan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Na’im turut mendakwa, tindakan TikTok Malaysia bukan sahaja membungkam hak rakyat untuk bersuara, malah memberi gambaran bahawa syarikat swasta luar negara itu sedang memainkan peranan aktif serta campur tangan dalam landskap politik negara.

Katanya lagi, kebimbangan itu menjadi lebih serius apabila pelbagai kandungan yang dikaitkan dengan aktiviti haram seperti judi dalam talian, penipuan (scam) dan penjualan barangan terlarang masih boleh ditemui di platform berkenaan.

“Namun apabila melibatkan kandungan dan akaun yang mempersoalkan kerajaan, TikTok Malaysia dilihat begitu pantas mengambil tindakan. Perbezaan layanan ini menimbulkan kebimbangan terhadap penguatkuasaan kandungan yang tidak seimbang,” katanya.

Armada mendakwa, situasi sedemikian tidak berlaku pada tahap yang sama di platform media sosial lain yang dilihat lebih menghormati hak rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mengenai isu semasa negara.

Sehubungan itu beliau menegaskan, Himpunan Gegar TikTok hanyalah permulaan kepada gerakan yang bertujuan mendesak TikTok menghormati hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

“Gerakan ini akan diteruskan sehingga TikTok akur kepada prinsip demokrasi dan menghormati hak rakyat negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast