Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mempertikaikan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah memalukan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, tindakan Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga mencerminkan kegagalan beliau memahami prosedur dan tatacara pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, tindakan Kor Ming mengkritik secara terbuka SPR yang merupakan institusi bebas itu tidak selari dengan peranan sebagai seorang Menteri Kabinet.

Malah ia juga menyerlahkan sikap beliau yang masih terperangkap dengan budaya pembangkang yang gemar mencari kesalahan tanpa memahami fakta dan proses pentadbiran.

Choo Seong berkata, SPR sebelum ini telah memberikan penjelasan terperinci mengenai rasional logistik dan perundangan yang menyebabkan PRN Johor dan Negeri Sembilan perlu diadakan secara berasingan.

“SPR telah bertindak secara profesional dengan menjelaskan faktor-faktor yang terlibat.

“Persoalannya, adakah seorang Menteri Kabinet terlalu sibuk berpolitik sehingga gagal meneliti fakta atau sengaja mengabaikan penjelasan yang telah diberikan demi meraih perhatian politik?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyifatkan, tindakan pemimpin DAP itu menyerang SPR melalui media sebagai bukti kegagalan memahami protokol serta saluran rasmi yang tersedia dalam kerajaan.

Menurutnya, sebagai anggota Kabinet, Kor Ming mempunyai ruang dan akses yang mencukupi untuk membangkitkan sebarang ketidakpuasan hati menerusi mesyuarat Kabinet atau saluran komunikasi rasmi kerajaan.

Menurut beliau, rakyat kini mengharapkan menteri yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan pentadbiran berkesan, bukannya terus terlibat dalam polemik politik yang tidak membawa manfaat kepada negara.

“SPR sedang menjalankan tugas rasmi berlandaskan keluhuran undang-undang. Jika Nga Kor Ming masih gagal membezakan antara tanggungjawab pentadbiran kerajaan dan pentas kempen politik, mungkin beliau wajar kembali memainkan peranan sebagai pembangkang sepenuh masa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Neow menggesa Nga menghentikan tindakan yang disifatkannya sebagai mensabotaj sistem dari dalam kerajaan dan sebaliknya memberi fokus kepada tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast