KUALA LUMPUR – Sistem penawaran subjek di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang masih bergantung kepada pakej ditetapkan sekolah berisiko menjejaskan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke universiti dalam bidang yang diminati.
Pengarah Sri Murugan Centre (SMC), Surain Kanda mendedahkan, ramai pelajar dan ibu bapa tidak menyedari pemilihan subjek di peringkat STPM boleh memberi kesan besar terhadap syarat kemasukan ke kursus tertentu di institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, pelajar ketika ini tidak mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memilih subjek secara individu kerana kebanyakan sekolah menetapkan pakej tertentu yang perlu diikuti.
“Jika seseorang pelajar memerlukan subjek seperti Ekonomi, Perakaunan atau Geografi untuk memenuhi syarat kemasukan ke kursus yang diminati, tetapi subjek itu tidak ditawarkan dalam pakej sekolah, mereka tidak mempunyai banyak pilihan.
“Ini bukan isu kecil kerana ia boleh menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya seseorang pelajar,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Beliau berkata, antara punca utama keadaan itu berlaku ialah kekurangan guru bagi subjek tertentu sehingga mengehadkan jumlah kelas yang boleh dibuka.
Katanya, terdapat sekolah yang hanya mempunyai seorang guru bagi sesuatu subjek menyebabkan kapasiti kelas menjadi terhad walaupun permintaan daripada pelajar adalah tinggi.
“Apabila kelas penuh atau sekolah tidak menawarkan subjek berkenaan, pelajar yang memerlukannya terpaksa akur dengan pilihan yang ada walaupun ia mungkin tidak selari dengan perancangan masa depan mereka.
“Keadaan menjadi lebih rumit apabila pelajar telah mendaftar dalam sesuatu pakej kerana kebanyakan pakej mempunyai subjek wajib yang tidak boleh digugurkan sesuka hati,” ujarnya.
Surain turut menyentuh isu pendaftaran subjek secara persendirian yang sering dianggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Menurutnya, walaupun pelajar secara teknikal dibenarkan mengambil subjek tertentu di luar sekolah, realitinya mereka sering berdepan pelbagai kekangan termasuk penyelarasan jadual pembelajaran dan kesukaran mengikuti kelas.
“Ada pelajar yang akhirnya menggugurkan subjek yang diperlukan kerana tidak mahu berdepan tekanan tambahan atau ketidakpastian mengenai bagaimana pembelajaran mereka akan diuruskan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman seorang pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan penuh 4.0 dalam STPM tetapi berdepan kesukaran memasuki kursus Perakaunan kerana tidak mengambil subjek Ekonomi yang menjadi antara syarat kemasukan program berkenaan.
“Pelajar itu memperoleh keputusan yang sangat baik, namun laluan ke bidang yang diminatinya terjejas hanya kerana subjek yang diperlukan tidak ditawarkan ketika berada di sekolah.
“Apabila perkara seperti ini berlaku kepada anak sendiri, barulah ramai menyedari bahawa isu penawaran subjek sebenarnya mempunyai kesan jangka panjang yang besar,” katanya.
Menurut Surain, walaupun terdapat dasar yang menggalakkan pelajar memilih subjek mengikut minat dan kecenderungan masing-masing, pelaksanaannya masih bergantung kepada faktor seperti perjawatan guru, penempatan tenaga pengajar dan kemudahan yang tersedia di sekolah.
Katanya, terdapat juga kes di mana sekolah terpaksa menunggu tempoh yang panjang untuk mendapatkan guru bagi subjek tertentu sehingga menyebabkan subjek berkenaan tidak dapat ditawarkan kepada pelajar.
Sehubungan itu, beliau berharap mekanisme penawaran subjek STPM dapat diteliti semula supaya pelajar tidak menjadi mangsa kepada kekangan pentadbiran atau kekurangan tenaga pengajar, terutama ketika tempoh pendaftaran hampir ditutup.
“Setiap pelajar sepatutnya mempunyai peluang yang adil untuk memilih subjek yang diperlukan bagi mencapai cita-cita mereka.
“Jangan biarkan kekangan sistem menutup pintu masa depan pelajar yang mempunyai potensi untuk berjaya,” katanya.
Surain merupakan Pengarah Sri Murugan Centre, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang telah lebih 40 tahun membantu pelajar mendapatkan akses kepada peluang pendidikan, bimbingan akademik dan laluan ke institusi pengajian tinggi. -MalaysiaGazette
















