Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd. Hisyamuddin Ghazali diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa ketika mengeluarkan kenyataan awam dan  tidak menggunakan ungkapan yang kasar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, nasihat tersebut bukan hanya tertumpu kepada individu tertentu sebaliknya melibatkan semua pihak supaya mengelak isu sensitif 3R (bangsa, agama dan institusi diraja) pada setiap masa bukan sekadar ketika tempoh kempen.

“Saya rasa dia memang baru dilantik tetapi nasihat saya adalah diharap janganlah guna pakai bahasa yang tak sopan dan kita elakkan isu-isu 3R bukan sahaja semasa kempen tetapi sepanjang masa.

“Saya percaya ini adalah satu amalan yang amat-amat diperlukan dan digalakkan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada program Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed Trust and Impact – ‘An Industry Dialogue’ di sini hari ini.

Nie Ching berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz susulan beberapa kenyataan yang didakwa menggunakan bahasa kurang sesuai selepas pelantikannya.

Dalam masa sama, Nie Ching memaklumkan beliau masih belum berkesempatan bertemu Syam Ghaz dan tidak pasti sama ada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sudah mengadakan pertemuan dengannya.

Sebelum ini, Syam Ghaz yang mula memegang jawatan itu pada 8 Jun lalu menerima kritikan selepas satu hantaran di media sosial yang dikatakan berunsur rasis.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan itu dan menegaskan istilah ‘Cina sesat’ yang digunakan tidak ditujukan kepada masyarakat Cina secara umum sebaliknya hanya merujuk kepada dua individu tertentu dan telah disalah tafsir.

Dalam penjelasan menerusi rakaman video, beliau berkata, hantaran Facebook berkenaan adalah respon terhadap kenyataan bekas pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To dan pendedah maklumat rasuah, Albert Tei.

“Saya menegaskan bahawa hantaran asal di laman Facebook saya hanya sebagai respon balas kepada Eric See-To dan Albert Tei semata-mata.

“Perkara ini terbukti jelas dalam hantaran itu yang secara terang-terangan menyebut nama Lim Sian See dan Albert Tei, tanpa membabitkan mana-mana pihak lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast