Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik pengumuman memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan di Asia Barat serta membuka laluan kepada penyelesaian konflik yang komprehensif dan berkekalan.

Dalam satu kenyataan, Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Türkiye dan negara-negara serantau lain atas peranan aktif mereka dalam menyokong usaha diplomatik serta menggalakkan dialog antara pihak-pihak yang terlibat.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Malaysia mengiktiraf komitmen dan penglibatan konstruktif semua pihak dalam memajukan usaha mengurangkan ketegangan sekali gus memelihara keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

“Malaysia berharap pemeteraian MoU yang dijadual berlangsung di Switzerland pada 19 Jun 2026 akan menjadi titik permulaan kepada rundingan susulan bagi mencapai satu perjanjian damai yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya.

Selain itu, Malaysia turut berharap langkah-langkah pelaksanaan awal yang dipersetujui, termasuk aturan keselamatan maritim, pelepasan sekatan secara berperingkat serta mekanisme lain yang dipersetujui oleh pihak berkaitan, dapat menyumbang kepada penghentian permusuhan secara berkekalan.

Langkah tersebut juga diharap dapat memperkukuh kestabilan serantau, melindungi kebebasan pelayaran di Selat Hormuz serta menyokong pertumbuhan ekonomi global dan keselamatan bekalan tenaga.

Malaysia juga menegaskan, keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai menerusi dialog, diplomasi dan penghormatan bersama antara semua pihak.

Sehubungan itu, Malaysia menyatakan kesediaan untuk terus menyokong segala inisiatif konstruktif yang menyumbang kepada pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa, di samping memperkukuh keadilan serta kemakmuran sejagat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast