Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika selesai selepas menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Malaysia Ke-62 serta mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada setiap MKJR negeri di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Jun 2026.

SEPANG – Kementerian Pengangkutan telah melaksanakan audit keselamatan secara rawak terhadap lebih 500 syarikat pengangkutan sejak Jun tahun lalu dalam usaha memperkukuhkan pematuhan standard keselamatan industri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan syarikat tidak hanya diaudit selepas berlaku kemalangan sebaliknya mengamalkan budaya keselamatan secara berterusan.

“Kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau menghentikan operasi syarikat yang gagal mematuhi keperluan keselamatan.

“Kita sangat serius dalam soal keselamatan. Banyak syarikat telah dikenakan tindakan penguatkuasaan sehingga ada yang mendakwa kementerian terlalu tegas.

“Namun keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-62 MKJR di Hotel Sama-Sama KLIA hari ini.

Beliau berkata syarikat pengangkutan perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek keselamatan operasi masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan kerajaan.

“Budaya keselamatan yang kukuh dalam kalangan pengendali industri merupakan faktor utama dalam mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem pengangkutan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast