Gambar hiasan

KUANTAN – Sempena Hari Penderma Darah Sedunia semalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah perlu diperkasakan melalui kerjasama strategik.

Ia melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang berkata, Datuk Ir. Razali berkata, kolaborasi itu penting bagi membentuk budaya sukarelawan dan kesedaran kemanusiaan dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah lagi.

Menurutnya pendedahan awal mengenai kepentingan derma darah bukan sahaja dapat melahirkan bakal penderma yang konsisten pada masa hadapan malah membantu memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

“Program pendidikan, kempen kesedaran, ceramah kesihatan dan aktiviti sukarelawan berkaitan pendermaan darah boleh diperluaskan di sekolah, kolej dan universiti bagi memberi pemahaman bahawa setiap beg darah yang didermakan berpotensi menyelamatkan beberapa nyawa.

“Dalam masa yang sama, masyarakat perlu menghargai jasa para penderma darah yang sanggup meluangkan masa dan menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Mereka adalah wira sebenar yang jarang mendapat perhatian, namun memainkan peranan besar dalam membantu pesakit kemalangan, pesakit kanser, ibu yang mengalami komplikasi ketika bersalin serta mereka yang menjalani pembedahan kritikal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim

Razali menggambarkan para penderma darah merupakan hero di belakang tabir yang tidak didendang.

Walaupun nama mereka tidak pernah terpampang di dada akhbar namun setiap titisan darah yang didermakan menjadi sinar harapan buat mereka yang sedang bertarung untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka tidak memakai jubah kepahlawanan tetapi keberanian dan keikhlasan mereka telah menyelamatkan nyawa yang tidak terhitung jumlahnya.

“Bayangkan seorang pelajar yang didedahkan tentang kepentingan derma darah pada usia 15 tahun. Apabila mencapai umur 17 atau 18 tahun, dia bukan sahaja memahami proses tersebut, malah berkemungkinan menjadi penderma tetap yang konsisten sepanjang hayatnya,” katanya.

Razali berpendapat, budaya membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan merupakan satu nilai yang semakin berharga merupakan amalan mulia.

Tambahnya sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan pada 14 Jun setiap tahun bukan sekadar penghargaan kepada para penderma darah sukarela malah menjadi platform untuk mengingatkan masyarakat bahawa bekalan darah yang selamat dan mencukupi merupakan keperluan yang tidak boleh dipandang ringan.

Bagi tahun 2026, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengangkat tema “Setitis darah demi kemanusiaan. Derma darah, selamatkan nyawa” yang menekankan bahawa setiap pendermaan darah adalah satu manifestasi sifat ihsan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam membantu sesama insan.

Sementara itu di Pahang, katanya, budaya pendermaan darah terus menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 33,989 beg darah berjaya dikumpulkan sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding 30,681 beg darah pada tahun 2023.

Pencapaian membanggakan itu hasil kerjasama erat antara sembilan pusat kutipan darah hospital daerah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat yang sentiasa menyokong pelaksanaan kempen derma darah.

Ia sekali gus membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendermaan darah semakin bertambah, namun usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan bekalan darah negara kekal stabil pada setiap masa.

Menyedari golongan muda merupakan aset penting negara, usaha membudayakan pendermaan darah kini diperluaskan ke sekolah-sekolah menerusi kerjasama strategik antara KKM dan KPM sebelum ini.

Melalui inisiatif tersebut, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah telah melaksanakan pelbagai program kesedaran termasuk penubuhan Club 25 Pahang, sebuah platform yang bertujuan melahirkan generasi muda yang mengamalkan gaya hidup sihat dan menjadi penderma darah sukarela.

Menerusi program itu, para pelajar berikrar untuk menderma darah sekurang-kurangnya dua kali setahun sehingga mencapai 25 kali pendermaan sepanjang hayat.

Matlamat utama Club 25 adalah membentuk golongan Gen Z sebagai ikon dan ejen perubahan yang mampu mempengaruhi rakan sebaya untuk menyertai gerakan kemanusiaan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast