Datuk Onn Hafiz Ghazi.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Sultan Johor.

Itu tegas Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengulas kenyataan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh YAB PM.

“Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang ‘sombong’?” soalnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar di Muar semalam yang mahu rakyat di Johor memilih MB Johor yang tak sombong dalam Pilihan Raya Negeri nanti seperti laporan beberapa media.

Anwar juga dilaporkan menggesa rakyat di negeri itu memilih PH supaya sealiran dengan kerajaan pusat.

Tegas Onn Hafiz, beliau tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan.

“Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara.

“Malah, dalam banyak perkara, kerajaan negeri turut membantu melengkapi usaha kementerian-kementerian Persekutuan demi kepentingan rakyat Johor,” katanya.

Setiap tahun, menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri membantu setiap bilik guru dan sekolah walaupun urusan pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

Setiap tahun, katanya, kerajaan negeri turut membantu setiap CIQ, IPD serta kem tentera walaupun perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

“Kerajaan Negeri juga membantu setiap hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam, walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.

“Malah, apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor

“Kami berbuat demikian kerana bagi kerajaan negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat.

“Bukanlah niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Tetapi saya dengan rendah hati ingin bertanya, dalam perkara apakah Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast