KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun selepas dipercayai memukul dan mengugut seorang individu dengan menunjukkan objek menyerupai pistol dalam kejadian di sebuah kedai makan di Desa Sri Puteri, Cheras pada 9 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.05 pagi dan membabitkan suspek yang dipercayai bertindak agresif terhadap mangsa.
Menurut beliau, suspek didakwa memukul mangsa sebelum mengugut individu terbabit dengan menunjukkan objek yang menyerupai pistol.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,”” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan melengkapkan kertas siasatan.
Setakat ini, kes berkenaan masih dalam siasatan polis. – MalaysiaGazette
















