KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan sebanyak 640 slot penajaan bagi epasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.
Semakan keputusan boleh dibuat secara dalam talian mulai hari ini hingga 22 Jun depan.
JPA dalam kenyataan memaklumkan, penawaran penajaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh pembangunan bakat negara selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk melahirkan modal insan berprestasi tinggi yang mampu memacu kemajuan dan daya saing negara pada masa hadapan.
Menurut JPA, inisiatif itu juga mencerminkan komitmen jabatan berkenaan dalam memastikan pelajar cemerlang negara terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di dalam dan luar negara.
“Bagi tahun 2026, sebanyak empat program utama ditawarkan melibatkan Program Penajaan Nasional (PPN) sebanyak 30 slot, Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) sebanyak 200 slot, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) sebanyak 140 slot serta Program Khas JPA-MARA (PKJM) sebanyak 270 slot,” menurut kenyatan itu.
JPA berkata, penajaan tersebut meliputi pelbagai bidang strategik dan kritikal termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial bagi menyokong agenda pembangunan nasional.
Melalui program-program itu, tambahnya, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka di negara seperti Amerika Syarikat (AS); Australia; Jepun; Korea; Perancis; Jerman; United Kingdom dan New Zealand selain IPT tempatan.
Katanya, calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan penajaan secara dalam talian bermula jam 10 pagi hari ini sehingga jam 5 petang pada 22 Jun depan menerusi sistem yang disediakan oleh JPA.
Menurut kenyataan itu, semua pelajar yang berjaya menerima tawaran Penajaan Lepasan SPM Tahun 2026 akan menerima penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA)yang diperkenalkan JPA pada Jun 2025.
JPA berkata, pelaksanaan PBUA mencerminkan komitmen jabatan itu dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik serta menggalakkan penerima penajaan untuk terus mencapai prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.
“JPA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran penajaan tahun 2026. Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan,” katanya.
JPA berharap penajaan yang diberikan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi profesional dan pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti serta mampu menyumbang kepada kemajuan negara. – MalaysiaGazette
















