Datuk Seri Yahaya Othman

PEKAN – Empat lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) palsu minggu ini.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, kesemua suspek yang berusia 40-an itu ditahan di sekitar daerah ini sejak tiga hari lepas.

“Setakat ini seramai sembilan yang ditahan dan dalam proses diambil keterangan untuk melengkapkan siasatan.

“Tempoh reman bagi lima suspek berakhir hari ini dan kertas siasatan kita akan rujuk ke bahagian pendakwaan Bukit Aman di mana kita akan teruskan proses pendakwaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kelmarin, seorang jururawat berusia 55 tahun merupakan antara lima individu yang direman bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

Perintah reman dikeluarkan terhadap kesemua suspek berusia 30 hingga 55 tahun itu oleh Majistret Melody Woon Sze Mun selepas permohonan dibuat pihak polis di Mahkamah Majistret Pekan.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Keseksaan dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Empat daripada suspek termasuk jururawat tersebut dikenakan perintah reman selama empat hari, manakala seorang lagi suspek yang dipercayai membeli MC palsu terbabit dikenakan reman selama tiga hari.

Sementara itu, Yahaya memaklumkan polis masih dalam proses melengkapkan siasatan terhadap pemandu lori treler yang mengakibatkan empat sekeluarga maut dalam kejadian di kilometer 43, Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, Bentong pada 14 Jun lepas.

“Pemandu itu telah ditahan sebelum ini untuk siasatan dan didapati positif dadah. Juga ada rekod kesalahan jalan raya dan rekod jenayah dadah.

“Jika ada keperluan kita jalankan siasatan berkaitan kes jenayah, kita akan jalankan. Sebab ia melibatkan kemalangan maut di mana pemandu yang terlibat dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Kita akan membuat siasatan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya di bawah pengaruh dadah,” katanya lagi.

Beliau berkata, pemandu berusia 40 tahun itu telah dibebaskan semalam dengan jaminan polis sehingga kertas siasatan dilengkapkan.

Dalam pada itu, Yahaya hari ini melangkapkan 10 hari siri lawatan kerjanya di sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri Pahang yang berakhir di Pekan.

Beliau turut meluangkan masa menerima Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Pahang) dan YaPEIM di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast