GEORGE TOWN – Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Lorong Batu Lanchang/Lebuhraya Thean Teik di sini, semalam, negatif alkohol dan dadah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 22 tahun yang berasal dari Johor itu gagal mengawal keretanya sebelum melanggar beberapa kenderaan lain dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, tiga kereta dan sebuah motosikal terbabit berada di persimpangan berkenaan sebelum kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta dan motosikal.
“Pemandu itu kemudian turut melanggar sebuah lagi kereta yang sedang membelok ke kanan dari arah Lebuhraya Thean Teik.
“Impak kejadian itu menyebabkan seorang penunggang motosikal warga tempatan berusia 33 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala ketiga-tiga pemandu kereta yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Rozak, punca kemalangan dipercayai disebabkan pemandu tersebut gagal mengawal dan tidak sempat memberhentikan keretanya sehingga melanggar kenderaan lain.
“Selain itu, hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit negatif alkohol dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Semalam tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan pemandu sebuah kereta melanggar beberapa kenderaan termasuk motosikal di persimpangan lampu isyarat Lorong Batu Lanchang.
Orang awam yang berada di lokasi kejadian merakamkan wajah pelaku sebelum mendakwa pemandu tersebut mungkin positif dadah jenis mushroom susulan keadaannya yang dilihat tidak stabil. – MalaysiaGazette
















