JOHOR BAHRU – Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang dilancarkan semalam bakal menjadi pemangkin utama kepada Teras Pembangunan Ekonomi dalam menjayakan misi besar Agenda Maju Johor 2030.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, pelan itu juga akan meletakkan Johor sebagai antara kuasa ekonomi Malaysia yang paling dinamik dan berdaya saing.
“Pemuda UMNO Johor berpandangan bahawa orang muda Johor merupakan penerima manfaat terbesar daripada pelaksanaan JETP.
“Melalui sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti dan berpendapatan tinggi, generasi muda Johor akan menikmati akses yang lebih luas kepada peluang kerjaya yang menawarkan prospek kerjaya masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JETP turut membuka ruang yang lebih besar kepada pembangunan modal insan melalui pelaburan dalam bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), kemahiran digital serta kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan orang muda Johor memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
Selain itu ujarnya, orang muda Johor juga bakal menikmati manfaat besar melalui pembukaan peluang keusahawanan dan perniagaan baharu dalam sektor-sektor strategik yang menjadi fokus JETP seperti tenaga, kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian moden.
Pelaksanaan JETP dijangka mewujudkan ekosistem lebih kondusif untuk usahawan muda berkembang melalui akses lebih baik kepada pembiayaan, infrastruktur digital yang lebih kukuh dan pasaran lebih luas, katanya.
Pemuda UMNO Johor turut menyambut baik pendekatan pembangunan yang lebih terangkum menerusi JETP, yang mengiktiraf kekuatan, potensi dan keunikan setiap daerah di Johor.
Menurutnya, setiap daerah dalam Johor akan memainkan peranan strategik mengikut kekuatan dan potensi masing-masing untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih terangkum, seimbang dan menyeluruh.
Pendekatan pembangunan berasaskan kekuatan daerah ini katanya, akan memastikan limpahan kemajuan ekonomi tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja, sebaliknya dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh daerah di negeri Johor.
Tambahnya, dengan pelaksanaan strategi itu, peluang pekerjaan berkualiti, pelaburan baharu dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dapat diwujudkan di seluruh negeri, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada orang muda Johor tanpa mengira lokasi mereka.
“Jelas bahawa Johor kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya lagi.
JETP katanya, bukan sekadar pelan ekonomi, tetapi merupakan pelan masa depan yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan pendapatan, membina kerjaya, mengembangkan perniagaan serta menikmati kualiti hidup yang lebih sejahtera.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Johor menyeru orang muda terus memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Barisan Nasional Johor agar agenda pembangunan dirancang ini dapat diteruskan secara konsisten demi menjamin masa depan Johor yang lebih makmur, maju dan berdaya saing.- MalaysiaGazette
















