KULAI – DAP melakukan perubahan berani apabila meletakkkan Mohamad Syafwan Ani, 33, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Pemilihan calon Melayu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) itu merupakan strategi parti kerana majoriti pengundi di kawasan tersebut adalah Melayu.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, Mohamad Syafwan bukan nama asing di kawasan Bukit Permai setelah berkhidmat sebagai pembantu khas Ahli Parlimen Kulai dan aktif di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
“DAP percaya pemilihan Mohamad Syafwan berdasarkan pengalaman serta penglibatan beliau di peringkat akar umbi menjadi antara faktor utama pemilihannya sebagai calon,” katanya.
Selain Bukit Permai, Anthony turut mengumumkan penyandang DUN Senai, Wong Bor Yang diberi keyakinan sekali lagi diberikan kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan selepas berkhidmat di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Bukit Permai dan Senai di Bilik Gerakan PH Senai di sini hari ini.
Katanya, pemilihan kedua-dua calon itu dibuat berdasarkan pengalaman serta hubungan rapat mereka dengan masyarakat setempat.
“Kita memerlukan calon yang bukan sahaja dikenali masyarakat, tetapi telah lama turun padang dan memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing,” ujar Setiausaha Agong DAP itu.
Anthony berkata, pihaknya menyasarkan kemenangan di ketiga-tiga DUN di bawah Parlimen Kulai iaitu Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai pada PRN kali ini.

Sementara itu, beliau berkata, DAP Johor akan mempertaruhkan seramai 17 calon dengan komposisi tiga calon Melayu, dua calon India dan 12 calon daripada kaum Cina pada PRN Johor kali ini.
Tambahnya, barisan calon itu turut menampilkan lebih ramai calon wanita sebagai usaha memperkukuh penyertaan golongan tersebut dalam politik parti.
Setakat ini, sebahagian calon telah diumumkan manakala calon selebihnya akan diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PH PRN Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir, Tangkak pada Isnin ini.- MalaysiaGazette
















