TEHRAN – Iran mengumumkan sekali lagi penutupan Selat Hormuz pada Sabtu susulan serangan Israel di Lubnan, yang disifatkan melanggar perjanjian yang dimeterai bersama Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
Pengumuman itu dibuat ketika tentera Israel meneruskan pertempuran dengan pejuang Hezbollah di selatan Lubnan dan melancarkan beberapa serangan udara maut, hanya beberapa jam selepas AS mengumumkan gencatan senjata baharu di kawasan berkenaan.
Permusuhan yang berterusan itu dilaporkan menjejaskan perjanjian yang dimeterai minggu ini antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang bertujuan menghentikan konflik serantau termasuk di Lubnan, satu daripada tuntutan utama Tehran.
Dalam kenyataannya, pihak tentera Iran mendakwa berlaku “pelanggaran kontrak” oleh AS selain “pelanggaran berterusan gencatan senjata di selatan Lubnan oleh rejim Zionis”.
Lantaran itu, Iran mengumumkan Selat Hormuz ditutup semula kepada semua trafik kapal.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik bagi penghantaran minyak dan gas dunia. Penutupannya sebelum ini ketika konflik berlangsung telah memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global.
Iran sebelum ini bersetuju membuka semula laluan itu sebagai sebahagian daripada perjanjian awal dengan AS, sekali gus membolehkan aktiviti perkapalan kembali pulih dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Bagaimanapun, rundingan susulan antara AS dan Iran yang dijadual berlangsung di Switzerland pada Jumaat ditangguhkan tanpa tarikh baharu selepas Israel melancarkan gelombang serangan di Lubnan susulan kematian empat tenteranya dalam pertempuran.
Pada Jumaat, seorang pegawai AS mengumumkan gencatan senjata baharu antara Israel dan Hezbollah yang diusahakan oleh perantara dari AS dan Qatar, dengan Duta Israel ke Washington memaklumkan negaranya akan mematuhi gencatan senjata sekiranya Hezbollah melakukan perkara sama.
Namun pada Sabtu, seorang pegawai tentera Israel memaklumkan operasi ketenteraan diteruskan selepas menuduh Hezbollah melepaskan lebih 50 peluru ke arah tenteranya di selatan Lubnan sepanjang malam.
Hezbollah pula mendakwa tentera Israel cuba menyusup masuk ke kawasan Bukit Ali Taher berhampiran bandar Nabatieh dan memaklumkan pejuangnya telah bertindak balas.
Media Lubnan melaporkan kira-kira 20 lokasi menjadi sasaran serangan udara Israel, manakala agensi pertahanan awam negara itu memaklumkan 16 orang terbunuh di kawasan Nabatieh.
Kementerian Kesihatan Lubnan turut melaporkan tujuh lagi maut dan 13 cedera dalam satu serangan di sebuah kampung berhampiran Sidon.
Seorang wakil rakyat Hezbollah, Hassan Fadlallah, menegaskan kumpulan itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri apabila diserang, manakala pegawai tentera Israel menyatakan pendekatan negaranya adalah “api dibalas dengan api”.
Konflik di sempadan Israel-Lubnan memuncak sejak awal Mac apabila Hezbollah melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan bersama AS dan Israel.
Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menggesa agar serangan Israel ke atas wilayah Lubnan dihentikan, manakala Rubio menekankan kepentingan usaha melucutkan senjata Hezbollah dan mengembalikan kawalan kerajaan Lubnan ke seluruh wilayah negara itu. – Agensi
















