KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mengakui perpecahan dalaman UMNO sebelum ini merupakan antara kritikan paling tepat dan berasas terhadap parti itu sepanjang sejarah politiknya.
Beliau berkata, ketika UMNO berada di kemuncak kuasa, perpecahan dalam kalangan pemimpin dan ahli telah menjejaskan perpaduan parti Melayu itu sehingga memberi kesan besar terhadap keyakinan rakyat.
“Bila kita berada dalam koridor kuasa, kita berpecah. Perpecahan itulah yang sebenarnya merosakkan perpaduan dan keharmonian dalam parti.
“Ramai tahu suatu ketika dahulu kita berada dalam dua kem yang berbeza iaitu kluster Putrajaya dan PWTC, walaupun ramai yang menafikan, tapi saya ingin mengiyakan kewujudan kluster ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan serangan dan kritikan yang sering dilemparkan terhadap UMNO di media sosial khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Gulam Muszaffar juga berkata, UMNO perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan memastikan budaya berpuak-puak tidak lagi menjadi penghalang kepada usaha mengukuhkan parti.
Menurutnya, kekuatan UMNO tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya terletak pada kesatuan seluruh ahli dan kepimpinan.
“Kalau kita mahu kembali kuat, kita perlu belajar daripada kesilapan lalu dan memastikan seluruh ahli bergerak dalam satu pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, Gulam Muszaffar menegaskan beliau akan tetap memilih UMNO sekiranya diberi peluang untuk memulakan perjalanan politiknya sekali lagi.
“Kalau hari ini saya diberi pilihan untuk memilih mana-mana parti politik, saya tetap akan memilih UMNO.
“UMNO mempunyai pengalaman yang luas dalam aspek kepimpinan dan yang lebih penting ialah pendekatan kesederhanaan yang diamalkan dalam sistem politik negara,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman panjang UMNO mentadbir negara membolehkan parti itu memahami cabaran rakyat serta keperluan untuk mengekalkan kestabilan politik.
“Politik yang sederhana dan matang perlu terus menjadi kekuatan UMNO pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















