KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan musuh dan cabaran politik terbesar kepada UMNO ketika ini kerana parti itu dilihat cuba mengambil alih peranan tradisi UMNO sebagai wadah utama orang Melayu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, walaupun Pas juga lawan politik UMNO, namun hubungan kedua-dua parti pernah melalui fasa kerjasama yang mempunyai titik persamaan dalam memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
“Pas memang musuh politik, tetapi kita pernah bersama dalam Muafakat Nasional (MN) dan merasai kebersamaan itu.
“Namun saya melihat Bersatu sebagai pihak yang cuba menggantikan UMNO.
“Apabila ada pihak yang mahu mengambil tempat kita, maka mereka menjadi cabaran terbesar kepada parti,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut beliau, persaingan politik yang sihat adalah perkara biasa, namun UMNO perlu mempertahankan identiti dan kedudukannya sebagai parti yang mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Usaha untuk menggantikan UMNO tidak akan berjaya sekiranya parti itu mampu memperkukuhkan semula perpaduan dalam kalangan ahli,” katanya.
Sementara itu, Gulam menegaskan, perpaduan menjadi kunci utama kepada kebangkitan semula UMNO bermula di Johor menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, 11 Julai ini.
“Formula untuk mengembalikan kegemilangan parti itu tidak memerlukan strategi yang rumit, sebaliknya bergantung kepada kesediaan seluruh ahli dan pemimpin untuk bersatu serta meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
“UMNO akan kembali kuat sekiranya akar umbi dan pemimpinnya kembali kepada asas penubuhannya iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya.
Katanya, semangat kesetiaan dan khidmat kepada rakyat perlu terus diperkasakan agar UMNO kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan masyarakat serta kestabilan negara.
“Perjuangan politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi soal bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat dan mempertahankan masa depan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















