KOTA TINGGI – Pasukan Batalion Malaysia (Malbat) yang bertugas di Lubnan akan terus kekal melaksanakan misi pengaman sehingga tamat mandat pada penghujung tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu sementara menunggu sebarang arahan baharu daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Setakat ini kerajaan belum menerima sebarang arahan untuk mengundurkan pasukan Malbat dari negara Asia Barat itu meskipun situasi keselamatan di rantau berkenaan terus berubah.
“Malaysia melaksanakan misi tersebut di bawah pentadbiran dan pengurusan PBB, justeru sebarang keputusan berkaitan penempatan pasukan tertakluk kepada ketetapan organisasi antarabangsa itu,” ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengisian Minyak Percuma Untuk Motosikal di stesen minyak BH Petrol, Felda Air Tawar, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan semasa amat membimbangkan apabila Israel didakwa terus melanggar persetujuan gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini, sekali gus menjejaskan usaha mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.
Jelasnya, selagi PBB tidak mengeluarkan arahan untuk berundur dari Lubnan, kerajaan mengharapkan pasukan Malbat sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kerosakan.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan menunggu keputusan lanjut yang bakal diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berhubung perkembangan semasa di Asia Barat.
Ujanya, walaupun terdapat usaha ke arah perdamaian, keadaan di rantau itu masih tidak menentu dengan perubahan yang berlaku hampir setiap hari.
Malaysia katanya, seperti negara lain yang menginginkan keamanan perlu terus memantau perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penugasan pasukan pengaman.
Mengulas mengenai kedudukan Malbat, beliau menjelaskan, pasukan Malaysia tidak ditempatkan berhampiran kawasan sempadan antara Lubnan dan Israel, sebaliknya berada di kawasan tengah yang dianggap lebih selamat.
Menurutnya, pasukan yang berada lebih hampir dengan kawasan sempadan ialah anggota dari Perancis, Indonesia dan beberapa negara lain.
Bagaimanapun, beliau mengakui ancaman serangan udara termasuk menggunakan dron, jet pejuang dan aset ketenteraan lain masih boleh berlaku di mana-mana lokasi.
Sehubungan itu, katanya, arahan keselamatan semasa menetapkan anggota Malbat supaya kekal berada di dalam kubu perlindungan atau bunker dan tidak melakukan aktiviti rondaan serta peninjauan yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan.
“Keutamaan kita ialah memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara sepanjang mereka melaksanakan misi di Lubnan,” katanya.- MalaysiaGazette
















