Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Othman Arsahd ketika hadir bagi rayuan terhadap hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan ke atasnya atas 96 pertuduhan rasuah di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Jun 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti nota keterangan setebal 4,000 muka surat berhubung rayuan seorang bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkaitan kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman Arsahd, 67, berkata, pihaknya baru menerima dokumen tersebut pada 4 Jun lalu.

Sehubungan itu, pasukan pembelaan memohon pendengaran rayuan yang sepatutnya dijadualkan hari ini, ditangguhkan ke tarikh lain.

Katanya, pembelaan telah menghantar dua surat permohonan penangguhan kepada mahkamah pada 14 dan 19 Jun lalu.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan tersebut dan menjadualkan semula rayuan pada 21 hingga 23 September ini manakala 28 Ogos ditetapkan untuk pemfailan hujahan bertulis.

Beliau turut mengingatkan pihak-pihak terlibat supaya tiada lagi mengemukakan permohonan penangguhan memandangkan tarikh prosiding berkenaan telah dipersetujui semua pihak semasa pengurusan kes terdahulu.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, Haresh Prakash Somiah dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Otman terhadap sabitan dan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta bagi 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Lelaki itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukumnya pada Julai 2023.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan Otman dipenjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta atau dipenjara 119 bulan jika gagal membayar denda.

Bagi 15 tuduhan salah guna kedudukan, lelaki itu dipenjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.

Sementara itu, bagi 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Bagaimanapun mahkamah mengarahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara serentak menjadikannya selama 15 tahun.

Hakim itu juga membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman denda dan penjara itu dengan syarat wang jaminan ditambah sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 dan 11 Disember 2015.

Kesalahan didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) dan (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta, boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast