LOGO JPJ

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis mengeluarkan sebanyak 466 notis saman terhadap pemandu warga asing sepanjang tempoh Januari hingga 21 Jun lalu menerusi operasi penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan di seluruh negeri.

Pengarah JPJ Negeri Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada pengesanan dan tindakan terhadap warga asing yang memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah selain melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang jalan raya.

Menurutnya, daripada 466 notis saman JPJ(P)22 yang dikeluarkan, kesalahan paling banyak dikesan membabitkan pelesenan pemandu sebanyak 129 kes, diikuti pelesenan kenderaan (95), kesalahan teknikal (105), cermin gelap (35) dan lain-lain kesalahan sebanyak 102 kes.

“Operasi yang dilaksanakan secara berterusan di sekitar negeri Perlis turut melibatkan pemeriksaan terhadap kenderaan yang digunakan oleh warga asing sama ada kenderaan asing atau kenderaan berdaftar di Malaysia.

“Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pelbagai kesalahan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak memiliki Permit Edaran Antarabangsa (ICP), mempunyai tunggakan saman serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, JPJ Perlis memaklumkan sebanyak 52 kenderaan milik warga tempatan yang dipandu warga asing terutama etnik Rohingya disita sepanjang tempoh berkenaan.

Selain itu, tujuh kenderaan asing dari Thailand turut disita hasil penguatkuasaan yang dijalankan.

Noraini menegaskan penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya, khususnya di negeri sempadan seperti Perlis yang sering menerima kemasukan kenderaan asing.

Pada masa sama, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan trafik melalui aplikasi MyJPJ menerusi e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast