KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal warga Indonesia maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Klang Gate, Ampang Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, nahas jam 7.20 pagi itu membabitkan sebuah lori tangki dan sebuah motosikal yang sedang bergerak dari arah Gombak menuju ke Ampang.
“Dipercayai kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal cuba memotong di sebelah kiri sebelum hilang kawalan lalu terjatuh.
“Mangsa kemudian dilanggar tayar belakang sebelah kiri lori tangki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan ambulans Hospital Ampang.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















