Logo Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). foto NOOREEZA HASHIM, 23 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memandang serius insiden seorang pekerja yang maut ketika menjalankan kerja-kerja pencucian kolam perkhidmatan di Kolam Menara Saujana Perdana 1 di Kuala Selangor baru-baru ini dan tidak menolak kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung.

SPAN dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada 17 Jun lalu sebelum mengadakan lawatan tapak ke lokasi pada keesokan harinya bagi menjalankan siasatan awal.

Menurutnya, kerja-kerja pencucian kolam secara berjadual telah dilaksanakan pada 16 Jun oleh vendor yang dilantik, Myda Risk & Safety Sdn. Bhd.

“Ketika kejadian, paras air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 milimeter.

“Seorang daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi tersangkut di kawasan tersebut. Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital UiTM untuk bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Punca awal kematian dilaporkan akibat lemas.

Artikel berkaitan: Lelaki maut dipercayai tersedut dalam tangki air ketika kerja penyelenggaraan

Kehilangan anak ujian paling berat – Bapa pelajar pelatih industri

SPAN berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melakukan pemeriksaan di lokasi pada 17 Jun sebelum mengeluarkan Notis Larangan.

Pada 18 Jun, SPAN bersama Air Selangor dan JKKP mengadakan lawatan susulan bagi mengenal pasti punca kejadian, dengan JKKP memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sebelum kerja berisiko tinggi dilaksanakan.

Menurut SPAN, semakan mendapati kontraktor yang menjalankan kerja pencucian dan penyelenggaraan itu mempunyai permit berdaftar dengan suruhanjaya berkenaan.

Kronologi Kes di Kolam Menara Saujana Perdana

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak, sama ada operator Air Selangor atau kontraktor terbabit, sekiranya didapati melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) atau peraturan berkaitan.

“Berdasarkan maklumat awal, terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.

“Namun, sebarang penemuan mengenai punca sebenar kejadian adalah tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir JKKP,” menurut kenyataan itu.

SPAN menegaskan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal menjadi keutamaan dalam semua kerja penyelenggaraan serta berikrar memperketat pematuhan prosedur keselamatan, kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor dan pengurusan risiko bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast