GEORGE TOWN – Tiga syarikat membabitkan sektor perkilangan dan pembinaan didenda keseluruhan RM95,000 oleh dua Mahkamah Sesyen negeri ini semalam atas pelbagai kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kes di Mahkamah Sesyen Balik Pulau membabitkan sebuah syarikat pengilangan yang didapati gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya.
Menurutnya, syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] kerana tidak memasang pengadang pada bahagian berputar konveyor rantai (chain conveyor).
“Kegagalan itu menyebabkan seorang pekerjanya warga Indonesia mengalami kecederaan hilang upaya kekal (HUK) iaitu putus satu ruas jari telunjuk tangan kiri.
“Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM20,000 oleh mahkamah,” katanya.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen George Town, sebuah syarikat pembinaan mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.
Jelas kenyataan itu, pertuduhan pertama membabitkan kegagalan menyediakan akses yang kukuh, selamat, sesuai dan mencukupi bagi kerja pemasangan ‘formwork’ dan ‘falsework’ di tingkat lima dan enam.
Katanya, bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didapati gagal memastikan bukaan lantai di tingkat dua (podium) dihadang dengan sesuai dan secukupnya bagi mengelak risiko pekerja terjatuh daripada ketinggian.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda terhadap syarikat itu sebanyak RM50,000,” katanya.
Dalam satu lagi prosiding berasingan di mahkamah sama, sebuah syarikat pembinaan lain turut mengaku bersalah kerana gagal memastikan akses kukuh dan selamat yang sesuai serta mencukupi bagi kerja ‘hacking’ di tepian bangunan di atas platform pejalan kaki di tapak pembinaan.
Kata JKKP Pulau Pinang, perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Peraturan 19(1)(b), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 dan syarikat berkenaan dikenakan denda RM25,000.
“Kami ingin menegaskan setiap majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat kepada semua pekerja.
“Kegagalan menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi, terutama membabitkan mesin berbahaya dan kerja di tempat tinggi boleh menyebabkan kemalangan serius, hilang upaya kekal serta kehilangan nyawa,” katanya. – MalaysiaGazette
















