@malaysiagazette Polis sedang mengesan seorang lelaki berpakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata dipercayai tiruan seperti yang tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ibrahim Husin dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian dipercayai berlaku di sekitar Taman Bukit Desa, Kepong, Selangor. Beliau berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960. MGViral MalaysiaGazette Kredit: FB Jazeman
KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berkaitan seorang lelaki memakai pakaian menyerupai pasukan keselamatan ala tentera Jepun dan memiliki senjata disyaki tiruan di sekitar Taman Bukit Desa, Kepong yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubunh kejadian itu pukul 4.31 petang semala selepas video itu tular di aplikasi WhatsApp.
“Siasatan awal mendapati individu yang identitinya masih belum dikenal pasti telah memakai pakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata dipercayai tiruan.
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Prakash Sithambaram di talian 012-2940827 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu melengkapkan siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette















