KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei Jiann Cheing menuntut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali untuk menetapkan segera tarikh, masa dan lokasi bagi menjayakan cabaran debat yang pernah diutarakan kepadanya sebelum ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Albert Tei sekali lagi mengesahkan beliau menerima dan menyahut cabaran debat Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz sebagaimana yang pernah dilontarkan kepadanya pada sidang media pada 13 Jun lalu.
Menurutnya, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung butiran penganjuran debat berkenaan walaupun cabaran itu telah diumumkan secara terbuka dan dilaporkan oleh pelbagai organisasi media.
“Susulan daripada itu, saya tidak menerima sebarang maklum balas berhubung maklumat pengacara, tarikh, masa dan lokasi untuk menganjurkan majlis debat tersebut.
“Oleh yang demikian, sekali lagi saya mengesahkan sahut cabaran debat yang diutarakan melalui surat rasmi ini,” katanya di laman sosial berkenaan sambil menyatakan sepucuk surat mengenai perkara itu telah dihantar ke Pejabat J-KOM di Putrajaya hari ini.
Albert berkata, ramai wartawan yang hadir ketika sidang media berkenaan menyaksikan sendiri cabaran debat tersebut sebelum menerbitkannya kepada umum.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak yang mencabar tidak mengecewakan orang ramai yang menantikan perdebatan tersebut berlangsung.
Dalam pada itu, Albert Tei turut memberi tempoh tujuh hari kepada pihak berkenaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya menarik diri daripada debat yang telah dicabar secara terbuka itu.
“Sekiranya pihak berkenaan menarik diri daripada debat tersebut, saya menuntut permohonan maaf secara terbuka dibuat dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















